MEMPERTAHANKAN NAJIB
Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on September 22, 2016
1. Saya percaya semua rakyat Malaysia tahu dan sedar bahawa keadaan dalam Negara amat tidak baik.
2. Khususnya mereka tentu tahu bahawa Perdana Menteri telah dituduh
melesapkan beribu juta Ringgit duit Kerajaan (rakyat). Berita ini tidak
boleh dilapor dalam media Malaysia tetapi melalui media sosial hampir
semua rakyat dapat ikuti perkembangan.
3. Sekarang bukan sahaja media asing melapor berkenaan lebih 3.5 bilion
Dolar Amerika sudah dilesapkan oleh Najib, Jabatan Keadilan Amerika
Syarikat juga mengeluarkan laporan rasmi bahawa “Malaysian Official 1”
(yang diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman
Dahlan ialah Dato Sri Najib) terlibat dalam melesapkan wang 1MDB
sebanyak lebih dari 3.5 bilion Dolar Amerika.
4. Jika semua laporan media dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat tidak
benar, kenapakah tidak ada sama sekali sebarang usaha oleh Najib membuat
saman malu terhadap mereka.
5. Rakyat Malaysia tahu. Sudah tentu para intelek Malaysia tahu. Sudah
tentu wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin bahagian parti Kerajaan tahu
akan kebenaran tuduhan terhadap Najib.
6. Tetapi apabila diadakan kritik atau tindakan untuk memulih Negara
bertuah ini kebanyakan dari mereka yang tahu kerosakan yang dilakukan
oleh Dato Sri Najib, membisu, tidak sanggup membuat apa-apa, tidak
sanggup pun untuk menyokong usaha yang sedang dibuat bagi memulih
keadaan.
7. Sebaliknya ada yang cuba mempertahankan Najib kerana kononnya semasa
saya jadi Perdana Menteri, saya juga buat perkara yang sama. Oleh itu
saya tidak berhak mengkritik, jauh sekali dari menjatuhkan Najib.
8. Saya ingin tanya bilakah semasa saya jadi Perdana Menteri saya
dituduh di dalam dan di luar negeri yang saya curi duit Kerajaan (duit
rakyat) berbilion Ringgit.
9. Saya biasa dituduh juga sebagai perasuah, korup, mempunyai kroni dan
lain-lain. Semasa saya Perdana Menteri saya anggap sebagai orang politik
tuduhan ini adalah perkara biasa.
10. Tetapi hakikatnya tuduhan seperti yang dilempar kepada Najib tidak
pernah dilempar kepada saya semasa saya jadi Perdana Menteri. Bahkan
selepas saya letak jawatan usaha selidik terhadap salahlaku oleh saya
yang dibuat oleh kepimpinan yang menyusuli tidak berjaya mengenal pasti
salahlaku saya berkenaan pengurusan kewangan Negara. Jika ada saya yakin
sudah lama saya diheret ke mahkamah.
11. Sebenarnya saya menolak hadiah tanah di Putrajaya di waktu saya
letak jawatan. Hadiah-hadiah lain juga saya serah kepada Kerajaan
termasuk 24 biji kereta. Saya tidak perlu kekayaan kewangan.
12. Saya berpendapat gaji saya sebagai Menteri, Timbalan Perdana Menteri
dan Perdana Menteri lebih dari mencukupi. Saya tidak perlu belanja gaji
saya untuk sara hidup kerana segala-galanya, rumah, api dan air,
kenderaan, pesawat terbang, perjalanan ke merata dunia dibiayai oleh
Kerajaan. Gaji saya selama 29 tahun dalam Kerajaan saya simpan. Itulah
wang yang saya guna untuk modal kedai roti, ternakan kuda, lembu dan
kerbau. Saya tidak pinjam barang satu sen pun dari bank. Saya tidak
membeli saham dalam pasaran saham. Tetapi satu rumah saya dibangun
dengan pinjaman duit Kerajaan. Saya sudah lama bayar hutang ini.
13. Saya akui ada kala Kerajaan mengalami kerugian kerana tindakan yang diambil oleh saya.
14. Untuk pertahan harga bijih timah, saya arah supaya membeli bijih
timah yang dijual oleh pedagang. Saya tahu mereka tidak ada stok bijih
yang mereka jual. Mereka berharap apabila harga jatuh, mereka akan beli
dengan harga murah untuk dibekalkan kepada pembeli yang telah membeli
diwaktu harga tinggi.
15. Apabila sampai masa untuk mereka bekal kepada pembeli mereka akan
terpaksa membeli dari kita. Kita akan kena harga yang tinggi supaya
mereka akan rugi.
16. Tetapi London Metal Exchange mendakwa kononnya kerana kita membeli
berturut-turut di waktu harga rendah, kita telah cuba “corner the
market”. Oleh itu penjual tidak perlu bekal bijih timah yang mereka
telah jual. Kita rugi.
17. Kilang besi juga rugi kerana kurang pengetahuan berkenaan pengurusan kilang oleh pengurus kita.
18. Kerajaan rugi kerana arahan yang dibuat oleh saya. Tetapi kerugian
itu bukan disebabkan saya lesapkan duit Kerajaan. Kerugian itu adalah
kerugian perniagaan.
19. Apakah kerugian ini sama seperti wang yang dihilangkan oleh 1MDB?
Apakah ada bukti yang kerugian Kerajaan disebabkan saya masukkan duit
Kerajaan dalam akaun peribadi saya?
20. Najib nafi melesap wang 1MDB. Kononnya raja Arab bagi 2.6 bilion
Ringgit untuk dimasukkan dalam akaun peribadinya untuk dibelanja sesuka
hatinya. Dalam sejarah dunia ini tidak pernah berlaku.
21. Oleh kerana dakwaan bahawa saya lakukan apa yang dilakukan oleh
Najib tidak berasas sama sekali, maka saya berhak bukan sahaja
mengkritik Najib tetapi mengecam salahlakunya dengan berusaha untuk
menyingkirnya.
22. Jika Najib benar tidak bersalah, apa sebabnya yang dia merahsiakan
laporan Bank Negara, laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan
laporan Ketua Audit Negara.
23. Apakah sebabnya yang laporan polis terhadapnya tidak disiasat oleh
polis, tetapi pembuat laporan dan peguamnya disoal, ditahan dan
dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan yang tidak masuk akal.
24. Apakah sebabnya yang Gani Patail, Peguam Negara, diberhentikan dan diganti dengan pelawak Apandi.
25. Kenapakah undang-undang Negara tidak dipatuhi? Sekarang tidak ada
Rule of Law. Kenapakah rakyat diugut dengan Akta Keselamatan baru yang
memberi kuasa untuk tangkapan tanpa dibicara.
26. Jika Najib benar tidak bersalah, jangan tukar sempadan pilihanraya,
jangan halang pendaftaran pengundi, jangan sogok wang kepada penyokong
dan pegawai. Jangan guna Jabatan Kerajaan untuk ugut, untuk mencipta
kesalahan cukai, untuk mendera sesiapa yang menyoal salahlaku Najib
seperti dilapor oleh akhbar asing dan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.
Kenapa halang laporan berkenaan 1MDB dan wang dalam akaun Najib dari
dilapor, dibincang, dipertikai atau diakui dalam media tempatan.
27. Jika ingin pertahan Najib, adakan saman malu terhadap semua mereka termasuk saya yang menuduh Najib lesapkan wang rakyat.
28. Jangan beri alasan kononnya saya pun buat apa yang Najib buat.
Sebaliknya benarkanlah proses perundangan dilaksana dan Najib dihadap
perbicaraan mahkamah keadilan.
sumber : MEMPERTAHANKAN NAJIB
Dah nyanyuk dah orang tua ni
ReplyDelete