100 HARI | Selepas mengelak
sebarang konfrontasi dengan BN sejak PRU ke-14, Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir malam ini menyasarkan kritikannya terhadap gabungan itu yang
menurutnya cenderung mencetuskan kebencian dan menyebabkan negara
menanggung hutang yang besar.
"Setelah kalah BN masih cuba mengeruhkan keadaan dengan memainkan
politik perkauman dan agama, bahkan cuba mengheret Raja-raja Melayu
supaya menimbulkan kebencian terhadap kerajaan Pakatan Harapan
(HARAPAN).
"Setiap pelantikan ke jawatan penting dalam kerajaan dicemuh dari
kaca masa bangsa dan agama. Mereka lupa apabila mereka melantik pegawai,
yang diutamakan adalah sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti
mereka.
"Undang-undang yang mereka cipta bertujuan menjadikan mereka kebal
dan menekan musuh mereka tanpa alasan. Akhbar dan media mereka diguna
untuk menutup salah laku dan pembohongan mereka," katanya dalam
perutusan khas sempena 100 hari pentadbiran HARAPAN ygn disiarkan secara
langsung pada pukul 8.30 malam ini.
Beliau berkata, setelah mengambil alih kerajaan, HARAPAN mendapati
semua jabatan kerajaan ditakutkan oleh kerajaan dulu dan dipergunakan
untuk "membuat kerja parti".
"Hutang mereka berjumlah trillion ringgit, angka yang tidak pernah
kita dengar dahulu. Namun dengan sombongnya mereka nafi yang mereka
melakukan kerosakan ini.
"Dengan tidak merasa malu, mereka mengaku wang berjuta ringgit yang
dikesan (oleh pihak berkuasa) adalah untuk parti mereka. Bagaimana
mereka boleh ada sebegitu banyak wang tidak dijelaskan," katanya lagi.
Wang bukan lagi raja
Mahathir berkata pentadbirannya telah menghapuskan falsafah 'wang itu raja' (cash is king), merujuk dakwaan yang sering diulangnya bahawa prinsip itu adalah amalan utama pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
"Wang hanya menjadi raja kalau memiliki jumlah yang besar. Untuk
parti politik mendapat wang yang sebegini banyak, tidak ada jalan lain
daripada mencuri.
"Beban yang besar yang ditinggal oleh pemerintah dahulu ialah hutang
bertrillion ringgit. Untuk membayar faedah sahaja boleh jadi kita
muflis. Apatah lagi dengan bayaran hutang pokok."
Dengan sokongan yang padu daripada rakyat, katanya lagi, "kerajaan
kleptokrasi" Najib berjaya dikalahkan dan tarikh 9 Mei akan kekal dalam
sejarah negara.
"Kejayaan ini pasti akan tercatat di dalam lipatan sejarah negara
sebagai satu kemenangan rakyat yang tidak ada tolok bandingannya.
"Ada yang anggap kemenangan ini sebagai 'miracle' atau
keajaiban. Lebih-lebih lagi apabila ia dicapai tanpa pertumpahan darah
ataupun pertembungan antara rakyat dengan pihak berkuasa seperti yang
kita saksikan di serata dunia," katanya.
Tiada toleransi terhadap rasuah
Beliau berkata kerajaan kini sedang merangka undang-undang untuk
mengawal selia pembiayaan politik dan dasar berhubung pemberian hadiah
dan derma kepada anggota pentadbiran.
"Kerajaan telah memutuskan untuk melakukan penambahbaikan mekanisme
penerimaan hadiah, keraian dan upahan oleh anggota pentadbiran.
"Tafsiran anggota pentadbiran diperluas sehingga termasuk perdana
menteri dan timbalan perdana menteri. Mereka juga perlu melaporkan
penerimaan hadiah, keraian dan upahan," katanya lagi.
Mahathir berikrar untuk tidak menyekat media tetapi memberi amaran ia
tidak boleh digunakan untuk mencetuskan provokasi kaum di kalangan
rakyat.
"Kerajaan percaya di masa akan datang, tidak kira parti mana yang memerintah, siapa yang menjadi perdana menteri dan menteri, pengukuhan institusi-institusi akan memastikan rasuah, salah guna kuasa dan pencurian wang dan harta awam tidak akan berlaku.
"Dan jika ianya berlaku mereka tidak akan terlepas tindakan undang-undang.
"Inilah pegangan Kerajaan hari ini iaitu menghormati dan menghayati kehendak rakyat supaya the rule of law, pemerintahan
mengikut undang-undang dikuatkuasakan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment