BALASAN PERJUANGAN TAN SRI DATO HJ
MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN.
KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD
YASSIN
Majlis Tertinggi UMNO memutuskan
untuk menggantung saya daripada jawatan Timbalan Presiden. Keputusan ini telah
saya jangka. Ia bukan satu perkara yang mengejutkan.
Sejak saya digugurkan
daripada kabinet, saya telah dihalang daripada menjalankan tugas sebagai
Timbalan Presiden. Saya disekat daripada menghadiri program-program parti.
Majlis parti yang dianjurkan untuk saya diarahkan supaya dibatalkan. Ahli-ahli
parti yang menyokong saya diugut. Malah, buat pertama kali dalam sejarah,
seorang Timbalan Presiden dihalang daripada berucap dalam perhimpunan agung.
Sepanjang enam tahun saya memegang
jawatan Timbalan Presiden, saya tidak pernah mengabaikan tugas dan
tanggungjawab saya membantu Presiden. Saya mengetuai jentera pilihanraya BN
dalam setiap kali pilihanraya kecil atau pilihanraya umum dan bekerja keras
untuk memastikan kemenangan BN. Dengan kemenangan itulah, maka Presiden selaku
ketua parti kekal menjadi Perdana Menteri. Tidakkah itu bermakna saya membantu
Presiden?
Saya juga melakukan tugas-tugas lain seperti mempengurusikan
mesyuarat pengurusan UMNO, mesyuarat pengurusan BN, menyelesaikan
masalah-masalah parti, memantapkan jentera pilihanraya, turun ke
bahagian-bahagian dan tugas-tugas untuk memastikan kesempurnaan perjalanan
parti. Ini bermakna saya telah membantu Presiden dalam mentadbir dan mengurus
parti. Saya juga bertanggungjawab menyampaikan pandangan dan keluhan ahli-ahli
kepada Presiden serta menegur Presiden jika dia melakukan tindakan yang
menjejaskan kepentingan UMNO.
Inilah yang saya lakukan apabila saya menegur
Presiden berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion.
Semua ini saya lakukan dengan niat untuk memastikan kesempurnaan perjalanan
parti dan mengembalikan kepimpinan UMNO ke landasan yang betul supaya UMNO
terus diterima oleh rakyat. Tetapi saya telah dihukum kerana kononnya saya
tidak membantu Presiden.
Adakah membantu Presiden itu
bermaksud menyokong Presiden secara membuta-tuli termasuk mempertahankan
kesalahannya? Saya tidak fikir begitu. Jika Datuk Seri Najib melakukan
kesalahan, maka wajib bagi saya dan yang lain-lain di dalam UMNO menegurnya dan
meminta dia memperbetulkan kesilapannya demi kebaikan parti. Jika dia
berterusan melakukan kesilapan, dan semua orang di dalam UMNO bersekongkol
mempertahankan kesilapannya, maka kesan buruk akan terpalit kepada UMNO.
Hari
ini tercatat dalam lipatan sejarah UMNO, seorang Timbalan Presiden yang dipilih
dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana
tindakannya menegur Presiden. Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli
parti yang memilih saya sebagai Timbalan Presiden. Ketika pindaan perlembagaan
UMNO dibuat untuk membolehkan ahli-ahli di akar umbi memilih pemimpin utama
parti, UMNO dicanang sebagai sebuah parti yang paling demokratik di negara ini.
Tidak ada mana-mana parti di Malaysia yang membuka ruang seluas-luasnya kepada
lebih 140,000 perwakilan dari seluruh negara memilih pemimpin-pemimpin utama
parti.
Namun, keputusan MT hari ini langsung tidak memperlihatkan UMNO sebagai
sebuah parti yang demokratik. Suara majoriti ahli, malah majoriti rakyat,
diketepikan dengan sewenang-wenangnya oleh MT semata-mata untuk mempertahankan
seorang individu yang terpalit dalam skandal rasuah dan penyelewengan yang amat
memalukan.
MT gagal menangani krisis kepimpinan
parti yang berpunca daripada penglibatan Najib dalam skandal IMDB dan derma
RM2.6 bilion yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya oleh beliau. MT tidak
berani bertanya Najib jika benar RM2.6 bilion itu wang parti, kemana perginya
wang itu selepas akaun ditutup pada 2013. MT juga tidak bersedia bertanya Najib
mengenai tuduhan wang SRC International berjumlah RM42 juta yang masuk ke dalam
akaun Najib.
Skandal yang menyelubungi Najib telah memberi imej yang amat teruk
kepada parti, kerajaan dan memalukan rakyat. Mengenai wang yang dikatakan masuk
ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya
oleh mantan Peguam Negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah
merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!
Yang terbabit dalam
skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi Najib. Yang menerima
RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib. Yang disiasat oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko
pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar
rakyat bukan saya, tetapi Najib. Yang menjadi punca segala masalah UMNO hari
ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala
Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya.
MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri saya
daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh
lebih besar terhadap masa depan UMNO dan negara. Malah MT juga tidak mengikut
prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa
untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan
lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk
membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk
menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui
bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemui saya
mengadu hal mengenai pelbagai skandal yang menyelubungi Najib dan isterinya.
Mereka meminta saya melalukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka
bimbang UMNO akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti. Saya
katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara
bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif
menasihati Najib. Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya
demi menyelamatkan UMNO dan negara.
Malangnya, mereka tidak berani menasihati
Najib. Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab
untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat
kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka.
Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya
mula menjauhkan diri daripada saya.
Hari ini, orang-orang inilah yang paling
lantang mengecam saya. Saya tidak berduka dengan apa yang terjadi kepada diri
saya. Namun saya berasa jengkel. Apa sudah jadi dengan sistem nilai di dalam
UMNO? Telah terhapuskah nilai-nilai kejujuran, keikhlasan dan keberanian untuk
menyatakan yang hak dan menentang yang batil? Telah leburkah semangat
perjuangan dalam diri pemimpin UMNO? Atau, apakah yang bermaharajalela hanyalah
nafsu kuasa yang penuh muslihat dan tipu daya?
Barangkali sistem nilai dalam UMNO
telah punah. Mereka yang berkepentingan tidak lagi dapat membezakan mana yang
benar dan mana yang salah. Yang diutamakan bukanlah matlamat asal perjuangan
parti, tetapi kepentingan diri. Akibat daripada ini UMNO akan rosak dan ditolak
oleh rakyat.
Hari demi hari, kredibiliti dan imej negara juga semakin terjejas.
Keadaan ekonomi semakin tidak menentu, rakyat dihimpit masalah kos sara hidup
yang semakin meningkat manakala ruang demokrasi dan kebebasan semakin tertutup.
Mereka yang lantang mengkritik Najib ditahan di bawah undang-undang
keselamatan, portal berita atas talian disekat dan suara-suara yang menentang
ditekan dengan pelbagai ugutan.
Najib juga sedang mengukuhkan kuasanya. Peguam Negara
memberikan alasan paling tidak munasabah untuk menolak pendakwaan ke atas Najib
walaupun mempunyai bukti yang kukuh. Hanya kerana dilantik oleh Yang Di-Pertuan
Agong atas nasihat Perdana Menteri, Peguam Negara tidak berani mendakwa Najib.
Institusi seperti SPRM dan Bank Negara tidak dapat berfungsi dengan sempurna
kerana ditekan oleh mereka yang berkuasa. Akta Majlis Keselamatan Negara pula
digubal untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri mengisytiharkan kawasan
keselamatan yang impaknya sama seperti pengisytiharan darurat.
Dalam menghadapi
kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya, Najib menggunakan segalakuasa yang ada
padanya untuk menekan suara yang menentang dan mendiamkan pengkritik. Kita
sebenarnya sedang menyaksikan keruntuhan institusi demokrasi dan kemunculan
seorang diktator baharu. Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran
dan menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh.
Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan
pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan. Oleh kerana Yang Di-Pertuan
Agong dalam menjalankan kuasanya di bawah Perlembagaan bertindak atas nasihat
Perdana Menteri, maka sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri boleh
terlepas daripada pendakwaan jenayah dengan hanya menasihati Yang Di-Pertuan
Agong supaya melucutkan jawatan Peguam Negara.
Jika Peguam Negara bukan seorang
yang berani, maka Perdana Menteri akan menjadi seorang yang amat berkuasa dan
kebal di sisi undang-undang. Dia boleh dengan sewenang-wenangnya melakukan apa
sahaja jenayah dan terlepas daripada sebarang hukuman. Ini bukanlah sesuatu
yang adil malah amat bertentangan dengan prinsip bahawa semua orang adalah sama
rata di sisi undang-undang.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank
Negara dan Polis Di-Raja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan
fungsi masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun. Peranan mereka di
bawah Perlembagaan dan undang-undang negara mesti diperkukuhkan. Kuasa Perdana
Menteri dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk
membolehkan mereka bertindak secara bebas dan telus.
Saya fikir, episod hitam
yang berlaku di Malaysia sedang mematangkan kita. Jika kita mahu melihat
Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati
kehidupan yang lebih sejahtera, maka kita mestilah bersedia untuk bersama-sama
menuntut perubahan. Ia bukan sekadar mendesak Perdana Menteri supaya berundur,
tetapi menolak institusi politik yang telah gagal dalam memenuhi aspirasi
rakyat.
Ketepikan sentimen kaum, agama dan ideologi untuk membentuk suatu
konsensus atau muafakat rakyat ke arah mewujudkan sebuah kerajaan yang adil,
amanah dan berintegriti. Saya menghargai semua pihak yang menyatakan sokongan
untuk terus berjuang bersama saya. Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri
Mukhriz Mahathir telah lebih awal menyatakan sokongan kepada saya.
Kepada
kedua-dua mereka saya ucapkan terima kasih. Kepada pemimpin akar umbi UMNO
terutamanya Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang berani berkata benar
saya ucapkan tahniah. Saya juga amat menghargai pendirian UMNO Pagoh yang tidak
gentar mengharungi badai gelombang bersama saya. Marilah kita terus berjuang!
Rakyat mesti bangkit untuk menentang kezaliman dan kemungkaran.
Selamatkanlah
Malaysia. Saya bersedia untuk bersama-sama anda dalam perjuangan ini. Jangan
takut kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t. Allahu Akbar
MUHYIDDIN YASSIN 27 Februari 2016
No comments:
Post a Comment