(
Psssttt...Har Dee ar, itu hudud kalu bikin ini wolang apa maciam?)
Salam 2 all.
Pendedahan oleh saudara Zainon Ismail @ Cikgu Non, atau lebih dikenali
sebagai CN Al Afghan didalam buku terbarunya "Kafirkah Aku?"
mencetuskan kembali isu Amanat Hadi Awang 1981. Desakan CN Al Afghan
supaya DS Hadi Awang menarik balik amanat itu dan meminta maaf menarik
perhatian ramai.
CN
Al Afghan bukan calang orang. Dia adalah ahli PAS seumur hidup. Dia
ahli tegar PAS. Dia pernah berjuang di dalam peperangan Afghanistan
menentang Russia, dan dalam konflik Kashmir. Dia seorang mujahidin. Dia
pernah ditahan dibawah ISA.
Sekembali
daripada jihad Afghanistan dan Kashmir, Cikgu Non mengambil
tanggungjawab membela dan menjaga kebajikan balu dan keluarga para
syuhada Memali, malah beliau mengahwini salah seorang balu tersebut. CN
Al Afghan dikenali sebagai seorang yang sangat tegas, istiqomah dan
ikhlas!
Beliau mendesak DS Hadi Awang menarik balik Amanat Hadi Awang 1981!
|
"Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan
kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional
bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah
kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang
kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita
menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah
kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad,
ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita
kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati
melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid.
Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha,
Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita
tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan
mengamalkan 'politik suku, agama suku'.
|
|
Inilah
teks apa yang dikenali sebagai "Amanat Hadi Awang 1981". Ia sebenarnya
adalah sedutan daripada ucapan Datuk Seri Hadi Awang di Kampung Banggol
Peradong, Kuala Terengganu pada 07 April 1981. Datuk Seri Hadi Awang,
lahir pada 20 Oktober 1947 pada waktu itu baru berusia 34 tahun, selepas
kembali daripada Universiti Al Azhar, Mesir (sebelum itu menuntut di
Universiti Madinah).
"Amanat
Hadi Awang 1981" ini telah dicetak dan disebarkan ke merata pelusuk
negara oleh PAS. Ianya memberi kesan kepada para pengikut yang taksub.
Sejak daripada itu, bermulalah episod UMNO dikafirkan! Ahli UMNO
dikafirkan! Indoktrinasi yang menghalalkan penentangan terhadap UMNO
sebagai jihad, dan mati menentang UMNO adalah syahid per se!
Sembahyang
bermakmum dengan Imam UMNO tidak sah, sehingga timbul masalah solat dua
imam! Nikah oleh kadhi UMNO tidak sah, sehingga timbul masalah perlunya
bernikah semula! Sembelihan orang UMNO haram dimakan, hingga timbul
masalah tidak mahu makan masakan orang UMNO! Kenduri orang UMNO haram
dihadiri, sehingga berlaku peristiwa pulau-memulau! Jenazah orang UMNO
haram disolatkan, sehingga ada imam PAS tidak mahu menyembahyangkan
jenazah ahli UMNO! Bercerai suami isteri! Berpecah kaum keluarga!
Berpisah anak beranak! Hancur rosak perpaduan kampung dan negara!
Kemuncak
kepada kafir-mengkafir ini ialah peristiwa Memali di Baling Kedah pada
19 Nov 1985. Empat tahun setelah Amanat Hadi Awang 1981 bertebaran dan
bersemadi dilubok pemikiran ahli PAS, Kg. Memali digemparkan dengan
peristiwa berdarah di pagi yang hitam itu.
Allahyarham
Ustaz Ibrahim Mahmud @ Ustaz Ibrahim Libya, bekas pegawai dakwah Pusat
Islam sanggup meninggalkan kerjanya; gaji ribuan dibuang; bilik kerja
air-cond ditinggalkan! Ustaz Ibrahim Libya pulang ke kampungnya di
Memali dengan harapan dan perjuangan untuk menegakkan sebuah Negara
Islam yang melaksanakan undang-undang Islam serta hudud, qisas &
ta'zir! Amanat Hadi Awang jelas terpampang didinding pusat kegiatan Kg.
Memali.
Dalam
peristiwa berdarah 18 Nov 1985, empat anggota polis Melayu-Islam
dibunuh. Pasukan keselamatan mengambil tindak-balas yang berakhir dengan
Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya terkorban bersama 13 lagi pengikutnya.
Sepantas
kilat Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya yang terkorban
diisytiharkan mati syahid oleh PAS. Jenazah mereka tidak dimandikan,
tidak dikafankan. Sebaliknya jenazah mereka terus disemadikan di
Perkuboran Islam Parit Panjang dalam keadaan berlumoran darah!
Apakah
yang mendorong Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya mengambil tindakan nekad
bertempur dengan pihak polis! Apa alasan yang mendorong Allahyarham
Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya membunuh empat anggota polis
tersebut. Anggota polis yang Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu
Qiblat dan Satu Aqidah dengan mereka!
Adakah
Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya terpengaruh dengan
Amanat Hadi Awang 1981, yang menghalalkan jihad terhadap UMNO? Adakah
Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya beranggapan polis yang
dibunuh adalah polis UMNO maka halal dibunuh? Adakah Allahyarham Ustaz
Ibrahim Libya dan pengikutnya merasakan bahawa kematian akibat bertempur
dengan polis itu adalah mati syahid? Ini semua adalah persoalan yang
hanya Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya yang terkorban
sahaja boleh menjawab.
Tetapi yang pastinya, didalam
bumi Malaysia negara umat Melayu-Islam ini, ada 14 jenazah umat
Melayu-Islam yang tidak dimandikan, tidak dikafankan kerana dikatakan
syahid! Adakah umat Melayu-Islam gagal melaksanakan fardhu kifayah?
Siapa yang wajar menanggung semua ini dihadapan ALLAH nanti?
Persoalannya ialah, apakah yang mendorong Datuk Seri Hadi Awang membuat
Amanat 1981 tersebut?
Teman
yakin DS Hadi Awang berpaksikan kenyataan itu kepada kepercayaan
kononnya Perlembagaan Malaysia, undang-undang dan peraturan yang
diamalkan dinegara ini adalah Perlembagaan, undang-undang dan peraturan
jahiliyah, penjajah dan kafir!
Kerana
apa? Kerana kononnya tidak meletakkan Al Quran & Sunnah sebagai
sumber utama undang-undang. Kerana kononnya ianya Perlembagaan,
undang-undang dan peraturan yang menolak Al Quran dan Hadis! Dan yang
paling utama, kerana perundangan jinayat hudud, qisas & ta'zir
tidak dilaksanakan! Maka timbullah dakyah dan tohmah konon Malaysia
bukan Negara Islam! Malah ditakfirkan Malaysia dan Kerajaan BN pimpinan
UMNO. Inilah yang sering dijaja oleh para penceramah, ustaz-ustaz, dan
ahli-ahli tegar PAS!
Persoalannya,
betulkah dakwaan itu? Betulkah Perlembagaan Malaysia Perlembagaan
kafir? Benarkah tidak melaksanakan hudud, qisas & ta'zir itu
membawa kepada kekafiran? Adakah benar Perlembagaan Malaysia tidak
menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam?
Kita
tidak perlu pergi jauh. Kita tengok kembali ucapan DS Hadi Awang
sendiri pada 18 Januari 2003 dalam satu ucapan yang dipanggil Amanat
Perdana Pemangku Presiden bertajuk 'Pilihanraya ke 11: Formula
Kemenangan".
Ucapan
sepanjang 13 mukasurat itu dibuat sewaktu DS Hadi Awang memangku
jawatan Presiden PAS selepas kematian Presiden PAS Allahyarham Datuk
Fadhil Noor pada 23 Jun 2002 akibat sakit jantung.
Pada
waktu itu, DS Hadi Awang juga adalah Menteri Besar Terengganu selepas
PAS memenangi PRU 10 pada tahun 1999. PAS memenangi DUN Terengganu dalam
PRU 10 selepas persekongkolan dengan DAP dan Anwar Ibrahim yang baru
dipecat daripada UMNO akibat masalah meliwat kakitangannya. Tetapi
persekongkolan itu menghadapi masalah besar terutama antara parti
cauvinis, rasis dan extremis DAP dengan PAS akibat fahaman Negara Islam
dan perlaksanaan hudud, qisas & ta'zir.
Dalam
menuju PRU 11 (yang berlaku pada 2004 dimana Kerajaan PAS Terengganu
tumbang), PAS mencari formula untuk mengekalkan kemenangan dan meluaskan
kejayaan pilihanraya. Maka PAS membuat perkiraan politik bahawa
kerjasama dengan DAP adalah wajib; persekongkolan dengan Anwar adalah
perlu. Maka demi mencapai formula kemenangan itu, DS Hadi Awang berkata
dimukasurat 10;
"Justru
kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan syari'at menjadi
punca perpecahan Barisan Alternatif (DAP-PKR_PAS) dahulu, maka PAS perlu
membuat satu perngorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan
persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat Federal.
Peruntukkan
mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan dan saperti yang diamalkan kini di peringkat
Federal. Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau
pembangkang akan menubuhkan sebuah Kerajaan Demokratik dan Adil
diperingkat Federal atau Pusat, yang akan mendokongi Perlembagaan
Persekutuan sedia ada!"
Cuba
teliti betul-betul petikan ucapan Amanat Hadi Awang 2003 ini dengan
Amanat Hadi Awang 1981 diatas. Nampak perbezaan fundamentalnya?
Kedua-duanya menyentuh tentang satu perkara: status Perlembagaan
Persekutuan.
Dalam
Amanat Hadi Awang 1981,
Perlembagaan Persekutuan (berserta undang-undangnya) dilabel
sebagai "
kafir, jahiliyyah & berbaur penjajah", yang
oleh kerana label itu UMNO dikafirkan!
Dalam
Amanat Hadi Awang 2003,
disebut jelas "
peruntukkan
mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub
didalam Perlembagaan Persekutuan dan saperti yang diamalkan di peringkat
Federal"!!!
Kedua-duanya mengupas perkara yang sama tetapi
bercanggah satu sama lain! Adakah kekafiran itu sudah boomerang?
Atas
alasan ini sahaja pun sudah cukup untuk Datuk Seri Hadi Awang wajib
menarik balik Amanat Hadi Awang 1981, kerana ternyata beliau sendiri
sekarang menyanggah dan membatalkan Amanat Hadi Awang 1981 itu melalui
Amanat Hadi Awang 2003!
Kedua, adakah tidak
melaksanakan hudud, qisas & ta'zir itu membawa kepada kekufuran?
Adakah tidak mendirikan Negara Islam itu membawa kepada kekafiran?
Kita
tidak perlu pergi jauh. DS Hadi Awang sendiri telah pada 20 Disember
2009 menandatangani Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang di Shah
Alam Convention Center. Bersama dengan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng,
Memorandum Persefahaman itu langsung tidak menyentuh tentang
perlaksanaan hudud dan penubuhan sebuah Negara Islam.
Ini
kemudiannya diikuti dengan penerbitan Buku Jinggay, dan diperkuatkan
dengan pelancaran manifesto Pakatan Pembangkang pada 08.09.2011 yang
jelas tidak memasukkan perlaksanaan hudud dan penubuhan Negara Islam
sebagai agenda.
Malah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim
Guang Eng dan Karpal Singh tetap konsisten dengan kenyataan bahawa
perlaksanaan hudud dan penubuhan sebuah Negara Islam langsung tidak
termasuk dalam persefahaman pakatan pembangkang, dan tidak menjadi
agenda mereka jika ditakdirkan (
na'uzubillah) memenangi PRU 13
dan memerintah Malaysia (
na'uzubillah minzalik).
Malah
yang lebih jelas ialah kenyataan DS Hadi Awang sendiri semasa Muktamar
Agong PAS Tahun 2011 yang jelas menyatakan bahawa "PAS mengubah dasar
kepada negara kebajikan, itu ada dalam Quran. Negara Islam dia (Al
Quran) tidak sebut"! Maknanya Negara Islam tidak ada dalam Al Quran.
Negara Islam bukan lagi perjuangan PAS. Melaksanakan hudud tidak lagi
menjadi agenda PAS bersama rakan sekongkolannya DAP-PKR! Perjuangan
menubuhkan Negara Islam dilongkangkan!
Nah, tidakkah itu bercanggah sama sekali dengan Amanat Hadi Awang 1981!
Adakah kekafiran itu sudah boomerang?
Yang
jelasnya, dengan pendirian yang kini bercanggah dengan amanatnya
sendiri, DS Hadi Awang wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981 itu!
Apa
yang jelas, Amanat Hadi Awang 1981 adalah satu kesilapan besar!
Kesilapan yang mencetuskan krisis aqidah yang serius kepada umat
Melayu-Islam, kesilapan yang menimbulkan perpecahan kepada perpaduan dan
ukhwah umat Melayu-Islam! Kesilapan yang menyebabkan ramai yang merana,
sengsara dan menghadapi penderitaan. Kesilapan yang menyebabkan 14
jenazah tidak dimandikan dan dikafankan!
Sebelum meninggalkan kupasan persoalan ini, elok juga kalau ditanya
soalan kepada DS Hadi Awang.
1.
Adakah kafir Mesir (negara dimana DS Hadi mendapat pendidikan Islamnya)
yang kini diperintah oleh Ikhwanul Muslimin dengan Presiden Mursi
kerana masih mengekalkan undang-undang penjajah, dan tidak menubuhkan
negara Islam dan melaksanakan hudud?
2. Adakah kafir
Indonesia, negara umat Islam terbesar didunia, kerana masih mengekalkan
undang-undang Belanda dan tidak menubuhkan sebuah negara Islam dan
melaksanakan hudud?
3. Adakah kafir Turki, negara umat
Islam terbesar dalam Pakatan NATO yang kini diperintah oleh Parti AKP
dibawah pimpinan Reccep Tayyib Erdogan yang masih mengekalkan status
sekularnya dan tidak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud?
Adakah
wajib memerangi mereka? Adakah jihad menentang mereka? Adakah syahid
jika mati bertempur dengan mereka? Adakah mereka musuh Islam yang wajib
ditentang?
Jawapannya kita semua tahu, TIDAK! Mesir negara Islam! Indonesia negara
Islam! Turki negara Islam!
Kalau Mesir, Indonesia, Turki dan negara seumpamanya Islam; mengapa
Malaysia tidak Islam, malah dikafirkan?
Kalau Mesir, Indonesia, Turki dan kerajaan seumpamanya tidak kafir,
mengapa Kerajaan Malaysia dikafirkan?
Kalau
Mesir, Indonesi, Turki dan wilayah seumpamanya tidak wajib diperangi
dan ditentang, mengapa harus pula menentang, malah berjihad terhadap
Kerajaan Malaysia?
Tepok dada tanyalah iman masing-masing!
Sebab itu teman menegaskan bahawa DS Hadi Awang wajib melakukan 4
perkara berikut:
1.
DS Hadi Awang wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981! Beliau wajib
membuat pengumuman itu bukan sahaja secara terbuka kepada semua ahli dan
penyokong PAS, malah beliau wajib membuat pengumuman itu kepada seluruh
umat Melayu-Islam dan rakyat Malaysia!
2. DS Hadi
Awang wajib bertaubat; kerana Amanat Hadi Awang 1981 telah menyebabkan
krisis aqidah dan perpecahan umat Melayu-Islam yang serius! Ramai yang
telah terpesong akibatnya. DS Hadi Awang wajib menyesali, memohon
keampunan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu!
3.
DS Hadi Awang wajib memnita maaf kepada seluruh ahli dan penyokong
taksub PAS, seluruh umat Melayu-Islam dan rakyat Malaysia. Khususnya
beliau wajib meminta maaf kepada keluarga dan waris yang telah
terkorban, suami isteri yang telah bercerai berai, anak yang berpisah
daripada keluarga, adik beradik yang bermusuhan, penduduk kampung yang
berpecah, para imam yang di aibkan dan dimalukan; pendekkata sesiapa
juga yang pernah menjadi korban dan mangsa akibat Amanat Hadi Awang
1981!
4. Setelah itu, DS Hadi Awang wajib mengadakan
roadshow dan ceramah berasar-besaran untuk memperbetulkan semula kesan
negatif yang telah berlaku akibat Amanat Hadi Awang 1981. Beliau wajib
memeperbetulkan semula mentaliti ahli dan penyokong tegar PAS yang rosak
akibat Amanat itu.
Nasihat teman kepada DS Hadi Awang,
janganlah ulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh Iblis. Jauhi
sifat takbur! Jangan ditutup hati & jiwa kepada sikap ego dan sikap
'ujub yang akhirnya nanti akan memakan diri. Kerana sayangkan sesama
Islam lah teman buat teguran ini!
Makhluk
yang asalnya Malaikat bernama Azazil, yang sanagt ta'at dan 'abid kepada
ALLAH, akhirnya hanya kerana satu kesilapan, Azazil dihumban ke api
neraka selama-lamanya! Azazil dilaknat ALLAH dengan gelaran Iblis!
Kesilapan Azazil hanya satu: TAKBUR!
Akibat
takbur, angkuh dan sombong, Azazil menjadi Iblis makhluk yang dilaknat
ALLAH! Jangan ulangi kesilapan Azazil! Jangan ulangi kesalahan Iblis!
Yang
baik itu datangnya daripada ALLAH, yang tidak itu adalah kelemahan
teman sendiri! Semoga ALLAH memberikan keampunan, maghfirah, hidayah dan
kekuatan istiqomah demi Islam, hanya kerana
Lillah hi ta'ala!
Wallahua'lam & Wassalam.
Adios amigos, grasias senor.
Zulkifli Bin Noordin
Selasa
11 Safar 1434
25 Dis 2012