Tony Pua hanya syok sendiri - Pas?
Kenyataan kononnya Pas akan lenyap di Selangor sekiranya pilihan raya
mengejut diadakan ekoran krisis dalam kalangan pakatan pembangkang
berhubung kedudukan pucuk pimpinan negeri Selangor gagal diselesaikan
merupakan kenyataan 'syok sendiri.'
Sambil menempelak kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua, Ketua
Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali
berkata, sejarah terus memperlihatkan Pas tetap bertahan, akan tetap
kuat dan bangkit dengan jenteranya yang semakin meluas di semua
peringkat.
Katanya, rakyat menilai setiap orang bertanding berdasarkan parti,
peribadi, bakti mereka dan persoalan Pas akan lenyap merupakan suatu
yang amat mustahil kerana Pas terbukti bertahan di negara ini sejak 51
tahun lalu.
"Pas tak mungkin lenyap dan sentiasa boleh bertahan. Di Terengganu, kita
jatuh pada 2004, tapi kita bangkit sekarang, tinggal dua kerusi lagi
untuk kita kuasai.
"Kita ada jentera di mana-mana sahaja. Yang tak ada jentera ialah Parti
Keadilan Rakyat (PKR). DAP hanya ada jentera di peringkat elit sedangkan
rangkaian Pas di peringkat akar umbi, di semua tempat.
"Itu terpulang kepada Tony Pua untuk memberi amaran namun istilahnya
adalah 'syok sendiri'," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di
sini semalam.
Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor dilaporkan mendakwa pakatan
pembangkang berisiko kalah, manakala Pas pula mungkin lenyap kerana
kehilangan banyak sokongan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan
untuk menyelesaikan isu penggantian Tan Seri Abdul Khalid.
Amaran itu dibuat berikutan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang pada minggu lalu yang menyokong Abdul Khalid untuk kekal sebagai
Menteri Besar yang boleh menimbulkan perpecahan ketara pakatan
pembangkang.
Dr. Mohd Khairudin berkata, sekiranya pakatan pembangkang tewas, PKR
seharus dipersalahkan sebagai punca dan bukannya Pas kerana mencetuskan
konflik ini.
"Pas hanya berpegang kepada pendirian asal, kita bersetuju dengan
Menteri Besar Selangor sedia ada, tetapi yang timbulkan masalah adalah
PKR," katanya.
"Kalau jatuh sekali pun, sebabnya adalah kerana PKR. Pas hanya
mempertahankan Abdul Khalid supaya rakyat boleh melihat pakatan
pembangkang sebagai sebuah parti yang telus dan memang berkhidmat untuk
rakyat kerana setakat hari ini tak ada satu hujah yang kuat untuk
menurunkan dia," ujarnya.
Katanya, selagi tidak ada bukti-bukti penyelewengan dikemukakan terhadap
Abdul Khalid, maka adalah menjadi tanggungjawab Pas sebagai pemimpin
ummah untuk terus mempertahankan Abdul Khalid.
1SUMBER