Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA
Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Tuesday, November 6, 2018

Hubungan ketuanan Melayu dan agama

Hubungan ketuanan Melayu dan agama (Bhg 1): Kupasan istilah ketuanan Melayu dan pandangan tokoh sejarah dan politik tentangnya.



Wan Ji Wan Hussin  | 
Diterbitkan  | 
Dikemaskini

 
ULASAN | Ketuanan Melayu, satu
ungkapan yang amat popular dalam budaya politik di Malaysia. Umno yang
sejak sekian lama membawa agenda perkauman Melayu menjadikan ungkapan
ini sebagai kalam keramat ketika berhadapan dengan musuh-musuh partinya.

Dari
sudut sejarah, ungkapan ini bermula pada tahun 1986. Pada peringkat
awalnya, ia adalah ucapan seorang pemimpin Umno Kelantan yang dikenali
sebagai Abdullah Kok Lanas (nama sebenarnya: Tan Sri Abdullah Ahmad,
meninggal dunia pada 12 Jun 2016) dalam satu ucapan beliau di Singapura.


Dalam ucapan tersebut, Allahyarham Abdullah mengungkapkan
istilah “Malay Dominance”, tetapi kemudiannya diterjemah kepada bahasa
Melayu sebagai 'ketuanan Melayu'.

Pemaknaan dan definisi bagi
ketuanan Melayu tidak pernah jelas. Dari sudut persepsi, terdapat
pelbagai kefahaman terhadap ketuanan Melayu. Walau bagaimanapun,
pemahaman yang popular adalah, ia sebagai konsep perkauman yang mendakwa
bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu
(sekarang: Malaysia).

Implikasi kefahaman ini menjadikan orang
Cina dan India dianggap sebagai pendatang dan terhutang budi kepada
orang Melayu. Dengan itu, wujud sentimen bahawa Malaysia ini dimiliki
oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan berketurunan Melayu
adalah 'hamba'. Jika tidak dianggap sebagai 'hamba' sekalipun, mereka
dianggap mempunyai tahap kasta yang rendah berbanding Melayu.

Dari
sudut pengamalan, ia dilaungkan oleh Umno. Namun, pada akhir tahun
2010, Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan bahawa slogan
ini digunakan oleh Umno untuk mengkayakan pemimpin Melayu dan
mengabaikan warga Melayu yang miskin. Kenyataan tersebut mendapat
kecaman hebat daripada pemimpin Umno.

Kesan dari kecaman tersebut,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Ketua Umum PKR
mengulangi slogan 'ketuanan rakyat' yang pernah diungkapkan tahun 2008.
Anwar membangkitkan perihal hak ekonomi kaum selain Melayu, seperti
Kadazan, Iban, Cina dan India.

Atas semangat Islam, pada tahun
2010, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz pernah mengungkapkan bahawa
perjuangan 'ketuanan Melayu' adalah sia-sia sahaja. Allahyarham Nik Aziz
menyatakan bahawa laungan ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam
hanya akan menjadikan orang Melayu lebih hina, bukan lebih mulia.

Lebih
berani lagi, pada 1999, Nik Abdul Aziz bukan sahaja membangkitkan soal
ketuanan Melayu, malah mempertikaikan konsep hak istimewa Melayu.
Allahyarham Nik Aziz berkata: “Sesuatu bangsa itu tiada hak istimewa.
Kalau ada bangsa Arab boleh diberi hak, tetapi Islam tidak memberikan
kepada mana-mana bangsa. Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan istilah
(hak istimewa Melayu) itu.”

Kewarganegaraan
Dalam era konsep kewarganegaraan (bahasa Arab: al-Muwatanah),
asas kerakyatan bagi sesebuah negara bukan lagi berasaskan kepada kaum,
tetapi berasaskan pengiktirafan perlembagaan sesebuah negara terhadap
individu rakyat.

Ini berbeza dengan pengamalan pada zaman
pemerintahan muslim dahulu, di mana kewarganegaraan berasaskan kepada
anutan agama. Ini berlaku dalam pemerintahan Osmaniyyah, Abasiyyah,
Umawiyyah, Fatimiyyah dan banyak lagi.

Seseorang itu dikira
sebagai warganegara, apabila dia telah memeluk agama Islam. Apabila
seseorang itu tidak beragama Islam, maka dia dibebankan untuk membayar jizyah (cukai kepada orang yang tidak beragama Islam).

Dengan membayar jizyah,
maka dia dikira sebagai kafir zimmi (non-muslim yang wajib dijaga
kebajikannya oleh sesebuah kerajaan). Kafir zimmi ini dianggap sebagai
golongan kelas kedua dalam sesebuah kerajaan.

Andai
non-muslim tersebut tidak mahu membayar jizyah, dia dianggap sebagai
kafir harbi (non-muslim yang boleh diperangi). Ini kerana, dengan
sikapnya yang berkeras tidak mahu memeluk agama Islam dan tidak mahu
membayar jizyah, diragui motifnya berada dalam pemerintahan muslim.
Kemungkinan besar dia mempunyai hasrat untuk memberontak.
Konsep
ini berteraskan bahawa muslim sebagai tuan dalam sesebuah negara. Jelas,
konsep itu sudah tidak relevan untuk diamalkan dalam bentuk negara
bangsa seperti Malaysia, malahan di semua negara dalam dunia pada hari
ini.

Dalam konsep sekarang, semua rakyat yang disahkan secara
perlembagaan dikira sebagai rakyat dalam negara, tanpa mengira anutan
agamanya. Setiap mereka mendapat hak keamanan dan kesejahteraaan sebagai
rakyat.

Namun, di Malaysia terdapat satu sentimen yang dikenali
sebagai ketuanan Melayu, yang meletakkan asas kaum Melayu sebagai tuan
rumah. Dengan sentimen ini, lahir tanggapan bahawa bangsa selain Melayu,
kaum lain seperti Cina dan India adalah pendatang, walaupun mereka
sudah menjadi warganegara Malaysia secara sah dan secara
berperlembagaan.

Dari sudut sejarah Islam, semasa Nabi Muhammad
masuk ke Madinah bersama para sahabat yang dikenali sebagai Muhajirin
(kalangan rakyat Mekah yang bersama-sama dengan Nabi berhijrah ke
Madinah), status Nabi dan sahabat Muhajirin bukan “warganegara” Madinah
(ketika itu: Yasrib).

Pun begitu, kehadiran Nabi dan sahabat
Muhajirin diterima rakyat Madinah yang dikenali sebagai Ansar sehingga
melantik baginda sebagai ketua kerajaan di Madinah. Penerimaan terhadap
rakyat Mekah untuk dijadikan ketua kerajaan di Madinah berlanjutan turun
temurun; iaitu apabila Abu Bakar al-Siddiq diterima menjadi ketua
kerajaan, kemudian disambung oleh Saidina Omar, Osman dan Ali dan
seterusnya, walhal mereka berasal dari Mekah.

Tanpa dinafikan,
memang terdapat rakyat asal Madinah yang tidak bersetuju, iaitu Abdullah
bin Ubai bin Salul. Dengan status Nabi sebagai “orang luar”,
menyebabkan dia merancang untuk mengeluarkan baginda dari Madinah.
Tindakan itu menyebabkan dia mendapat celaan al-Quran sepertimana
diceritakan dalam ayat ke-8, dari surah al-Munafiq.

Pandangan tokoh sejarah, politikHal
yang pasti, ketuanan Melayu tidak termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia. Menurut pakar sejarah, Prof Khoo Kay Kim, istilah
ketuanan Melayu tidak pernah digunakan dalam sejarah. Dengan sebab itu,
tidak hairan terdapat sebilangan tokoh besar dalam negara yang menolak
konsep tersebut.

Antara yang menolak konsep ini adalah Allahyarham
Nik Abdul Aziz, bekas menteri besar Kelantan. Atas semangat Islam,
beliau berkata, “Jika di Malaysia ini, suka sangat sebut ketuanan
Melayu, sebab Melayu bangsa asal, tetapi kita lupa bahawa bumi ini
adalah kepunyaan Allah. Sepatutnya, kita kena sebut ketuanan Allah.
Sepatutnya, lagu ini (seperti ini) cara berfikir orang-orang beriman”.

Dalam
kenyataan yang lain, Nik Abdul Aziz pernah menyatakan bahawa dia secara
terang-terangan menolak konsep ketuanan Melayu. Beliau berkata, “Sebab
tu kita buat PAS for All. Lama dah 1Malaysia ini dilakukan oleh PAS, lama dah. Dan DAP sebut, Malaysian Malaysia.
Lama dah. Jadi, oleh yang demikian, 1Malaysia ini tiru gerakan Islam
sebenarnya, bukan gerakan Melayu. Sebab itu saya lawan ketuanan Melayu.”

Juga
menolak konsep ini adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Malahan beliau
menampilkan pula kegagalan Melayu dalam ekonomi berbanding bangsa lain.
Dengan demikian, beliau menganggap slogan ketuanan Melayu sebagai
sia-sia.

Kata Dr Mahathir,“Tidak guna (tidak ada faedah) kita
panggil diri kita tuan. Kita bangga kerana kita adalah tuan? Kalau kita
jadi pemandu kereta dan ada orang di belakang yang mengarah kita ke
mana-mana? Apakah kita tuan, atau yang di belakang itu adalah tuan?”

“Kadang-kadang kita terpaksa cuci kasut orang. Orang yang mempunyai kasut itu tuan, atau kita (orang yang cuci kasut) itu tuan?.

“Tidak ada gunanya laung ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu… ketuanan, (kalau) jadi kuli orang, (itu) bukan tuan.”

Pada
Jun 2018, bekas ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz ada menyatakan,
sudah sampai masanya ditinggalkan konsep 'Ketuanan Melayu' dan
digantikan dengan konsep 'ketuanan Malaysia'. Beliau berkata, “Kenapa
kita mahu bersaing sesama kita? Kita sepatutnya bersaing dengan yang
terhebat di rantau ini, yang terbaik di dunia. Janganlah lagakan antara
warisan Melayu dengan warisan Cina. Kita rakyat Malaysia. Kita mahu
negara ini menjadi tuan di rantau ini.

“Ia (ketuanan Melayu) sudah
tidak sesuai digunakan dalam masyarakat kini. Kini, konsep yang lebih
sesuai adalah ketuanan Malaysia. Negara ini mesti didahulukan.”

Anwar
pula pernah membangkitkan persoalan kepada pemaknaan bagi “tuan” dalam
pengistilahan ketuanan Melayu. Anwar berkata, “Tuan itu, (maknanya) yang
berkuasa, yang utama, yang memiliki. Jadi, kalau Melayu itu tuan,
bagaimana kedudukan Iban, Kadazan, Cina, India?”

Dalam satu ucapan
di Kampung Baru pada 14 April 2008 yang dikenali sebagai “Dari Black 14
ke arah kemenangan rakyat”, Anwar Ibrahim pernah menggantikan sentimen
“ketuanan Melayu” kepada “ketuanan Rakyat”.

Dalam ucapan itu,
beliau berkata, “Kita tidak bicara soal ketuanan Melayu, tetapi program
kita akan lebih banyak membela nasib orang Melayu. Kita tidak bicarakan
ketuanan Melayu, kerana yang kita bicarakan adalah ketuanan rakyat.”



Hubungan ketuanan Melayu dan agama (Bhg 2)

Wan Ji Wan Hussin  | 
Diterbitkan  | 

 

ULASAN |
Dari sudut persepsi, ketuanan Melayu melahirkan gambaran seakan-akan
wujud kekastaan berdasarkan bangsa dan kaum, atau wujud eleman mahu
menjadikan bangsa lain sebagai hamba. 
Persoalannya, apa sudut pandang Islam dalam melihat gambaran ini?
Dalam
Islam, perhambaan hanya kepada Tuhan. Dengan demikian, Islam tidak
mengiktiraf amalan perhambaan sesama manusia. Jauh sekali menerima
konsep kasta. Ini disandarkan kepada beberapa bukti:

Pertama,
seorang sahabat bernama al-Rab’ie bin ‘Amir berhadapan dengan Raja
Rustum dari kerajaan Farsi, dia berkata bahawa Allah swt mendatangkan
muslim untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada
perhambaan kepada Allah.

Kedua, di awal Islam berkembang, sistem
perhambaan sesama manusia masih lagi diamalkan. Memandangkan amalan itu
adalah sesuatu yang diterima secara lumrah dalam masyarakat Arab, Islam
hapuskan sistem itu secara bertahap-tahap.

Antara caranya
pembebasan terhadap hamba melalui membayar kifarat pada saat melakukan
kesalahan dalam beribadat, seperti bersetubuh dengan isteri pada siang
hari pada saat sedang berpuasa Ramadan.

Ketiga, ketika beribadat
di Mekah dalam musim Haji atau Umrah, terdapat amalan memakai ihram. Ia
tidak membezakan antara kasta sesama manusia, tidak kira ia dari
kalangan Raja, atau bukan; dari kalangan orang berkuasa atau rakyat
biasa.

Islam menolak perkaumanApabila
Islam menolak sistem perhambaan dan kekastaan, makanya tidak hairan
Islam tidak menerima konsep kemuliaan seseorang manusia itu berdasarkan
kaum dan bangsa. Ini disandarkan kepada beberapa dalil berikut:

Pertama,
al-Quran menyatakan bahawa manusia itu diciptakan Tuhan dari lelaki dan
perempuan, berbangsa dan beretnik. Tujuannya adalah untuk manusia
saling kenal-mengenali sesama mereka.

Kedua, dalam Hadis, Nabi
Muhammad ada menyatakan bahawa bangsa Arab tidak lebih mulia berbanding
bangsa lain. Kemuliaan di sisi Allah di akhirat kelak adalah ketaqwaan
manusia itu kepada Allah.

Ketiga, dalam Hadis ada diceritakan
bahawa Bilal bin Rabah dihina oleh Abu Zar. Dalam riwayat lain,
dikatakan bahawa Abu Zar memanggilnya, “Wahai Anak kepada perempuan yang
berkulit hitam”. Perkara itu menjadikan Rasulullah saw berkata
kepadanya, “Wahai Abu Zar, kamu telah menghina ibunya? Sesungguhnya kamu
masih ada lagi sifat-sifat jahiliyyah.”



Islam
melihat bahawa pelantikan seseorang pemimpin, bukan berasaskan kepada
kaum dan etnik tertentu, sebaliknya berasaskan kelayakan dan kemampuan
dalam mengurus sehingga memberi kebaikan kepada rakyat. Asas ini
berdasarkan kepada beberapa dalil berikut:
Pertama,
Abu Hurairah bercerita bahawa ketika Nabi saw sedang berada dalam satu
kalangan sahabat dan menyampaikan ucapan. Tiba-tiba datang seorang
lelaki badwi. Dia bertanya, bilakah kehancuran akan berlaku? Nabi tidak
menjawab, sebaliknya terus dengan ucapan Baginda sehingga ada dari
kalangan sahabat berkata, bahawa Nabi saw mendengar soalan tersebut dan
Nabi tidak suka soalan sebegitu.

Sebilangan yang lain pula kata,
Nabi tidak mendengar soalan badwi itu. Apabila selesai, Nabi saw
bertanya, di mana orang yang bertanya berkenaan kehancuran. Lalu, badwi
itu menyahut dan mengulangi soalannya. Lalu jawab Nabi, apabila
dikhianati amanah, ketika itu sampai saat kehancuran. Lalu, badwi itu
bertanya lagi, bagaimana cara khianati amanah tersebut. Jawab Nabi saw,
“Apabila diberikan sesuatu urusan itu bukan kepada orang yang
berkelayakan, maka tunggu saat kehancuran.”

Kedua,
Nabi dilahirkan di Mekah. Tetapi, apabila Nabi sampai ke Madinah yang
ketika itu dikenali Yasrib, baginda dilantik jadi ketua kerajaan.
Walaupun Nabi saw bukan rakyat tempatan Madinah, tetapi berasaskan
kelayakan, Nabi dilantik menjadi ketua kerajaan di Madinah.

Ketiga,
memandangkan Nabi bukan berasal dari Madinah, makanya selepas kewafatan
Nabi, masyarakat Madinah bersetuju untuk melantik orang tempatan
menjadi pemimpin. Sa’ad bin Ubbadah yang merupakan calon pemimpin mereka
berkata, “Wahai masyarakat Ansar, kamu adalah golongan terawal dengan
agama dan mempunyai kelebihan tersendiri dalam Islam yang tidak ada
kabilah lain dari kalangan Arab.”

Walaupun berlaku kempen
mengangkat Sa’ad bin Ubbadah yang merupakan orang tempatan, tetapi
perdebatan sesama sahabat dalam pelantikan yang akhirnya bersetuju
melantik Abu Bakar al-Siddiq menjadi khalifah, walaupun Abu Bakar
kelahiran Mekah.

Keempat, lebih jelas lagi apabila Nabi suruh taat
kepada pemimpin, walaupun bukan dari kalangan bangsa Arab. Dalam hadis,
perkataan Nabi dipetik, dengar dan taat, walaupun yang menjadi pemimpin
yang ditaati itu adalah seorang hamba yang berbangsa Habsyah (berkulit
hitam) yang rambutnya seakan-akan buah kismis (Melayu: buah anggur
kering).

Tindakan afirmatif

Tindakan
afirmatif dalam konteks bernegara adalah merujuk kepada bantuan yang
diberikan kepada golongan minoriti yang kurang mampu dari segi
sosio-ekonomi dan pembangunan. Pada saat golongan majoriti bersaing
secara sihat, terdapat golongan minoriti yang gagal untuk setahap dalam
persaingan.

Dengan demikian, golongan minoriti ini “dibimbing tangan mereka” dengan bantuan kerajaan agar dapat bersaing secara sihat.

Dari
sudut ekonomi, Islam cenderung kepada persaingan sihat. Ini didasarkan
kepada satu kisah bahawa ada dari kalangan sahabat berjumpa dengan Nabi
minta agar buat penetapan harga kerana harga barangan telah naik di
pasaran. Nabi saw terus menyatakan bahawa baginda tiada hak untuk buat
penetapan harga, malahan menyatakan semua itu bergerak di pasaran
berdasarkan ketetapan Tuhan.

Hadis ini menjadi bukti bahawa harga
barangan di pasaran bukan ditetapkan oleh pihak yang berkuasa, tetapi
perlu berdasarkan persaingan di pasar secara “permintaan” dan “tawaran”.


Apabila
ada persaingan antara ramai peniaga terhadap sesuatu barangan jualan,
sudah pasti setiap mereka mahu memastikan barangan mereka dibeli,
makanya mereka akan menawarkan barangan mereka yang lebih kualiti dan
paling murah. Dengan itu, para pembeli akan dapat membuat pilihan dan
keuntungan.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan bahawa ada dari
kalangan yang lemah dan tidak mampu bersaing secara sihat yang
memerlukan afirmatif. Dalam tradisi Islam, tidak terdapat langsung
tindakan afirmatif berasaskan bangsa atau kaum tertentu. Bantuan
diberikan berdasarkan keperluan bagi orang yang memerlukan, tidak kira
apa bangsa atau kaum dia sekalipun.

Antara bukti-buktinya adalah seperti berikut:

Pertama,
semasa berlaku peperangan di Khaibar, Nabi saw membahagikan harta
rampasan perang (bahasa Arab: Ghanimah) kepada sahabat yang terlibat
dengan perang.21. Pemberian tersebut tidak berasaskan kepada kaum,
tetapi merentasi bangsa dan kaum, kerana antara yang menerima itu adalah
Bilal bin Rabah yang berbangsa Habsyah (golongan kulit hitam).

Kedua,
konsep zakat diberikan bukan berdasarkan sesuatu kaum atau bangsa,
tetapi berdasarkan keperluan dan kebajikan kepada yang memerlukan. Dalam
al-Quran, dinyatakan lapan golongan yang layak terima zakat, iaitu (1)
fakir, (2) miskin, (3) amil zakat, (4) muallaf, (5) orang yang tertawan
(hamba), (6) orang yang berhutang, (7) orang yang berada di jalan Allah
dan (8) orang ada masalah kewangan semasa dalam perjalanan.

Bagi
fakir, miskin , riqab (hamba yang mahu dimerdekakan), Garimin (orang
yang dikekang hutang), Ibn Sabil (orang yang ada masalah kewangan ketika
dalam perjalanan25) adalah kelompok manusia yang memerlukan kepada
bantuan kewangan, tidak kira dari apa bangsa dia.

Amil zakat
(pengutip zakat yang dilantik kerajaan) pula, berdasarkan kepada
kebajikan terhadap hasil kerja yang dilakukannya. Muallaf pula adalah
memberi bantuan kewangan kepada mereka yang dibuang ahli keluarga mereka
ekoran baru memeluk Islam atau kecenderungannya kepada agama Islam.

Dari
konsep zakat ini, amat kelihatan bahawa bantuan tidak diberikan
berdasarkan sentimen sesuatu kaum dan bangsa, tetapi berdasarkan kepada
golongan yang memerlukan dan keperluan mendapat kebajikan. Lebih-lebih
lagi, pada zaman Omar menjadi khalifah, beliau pernah menafsirkan maksud
orang fakir dan miskin itu merujuk kepada orang ahli kitab yang tidak
beragama Islam, sudah pasti tidak berbangsa Arab, kerana ahli kitab pada
zaman itu adalah berbangsa Bani Israel.

Ketiga, pendekatan tidak
berorientasikan bangsa ini lebih kelihatan apabila Nabi berpesan kepada
Muaz bin Jabal semasa dilantik menjadi gabenor di Yaman, bahawa beliau
perlu ajar kepada masyarakat Yaman yang Allah mewajibkan diambil sedekah
dari harta orang-orang kaya yang kemudian perlu diberikan kepada
orang-orang miskin dalam kalangan mereka.

Keempat, pada zaman
Saidina Omar menjadi khalifah, beliau telah ke pasar, beliau dapati
Hatib bin Abi Balta’ah menjual buah zabib (anggur yang telah
dikeringkan) dengan harga yang murah. Dengan kadar yang murah itu,
menyebabkan peniaga-peniaga lain yang mempunyai kadar kos yang rendah
tidak dapat bersaing dengan dia. Dengan demikian, Omar pun berkata
kepada Hatib, “Sama ada kamu mahalkan harganya, ataupun kamu pergi
berniaga di tempat lain”.

Hatib bin Abi Balta’ah berbangsa Arab
sedangkan peniaga-peniaga di pasar itu bercampur dengan pelbagai kaum.
Kewujudan Hatib bin Balta’ah menjadikan pasaran tidak seimbang. Makanya,
Hatib yang berbangsa Arab diminta menaikkan harga jualannya ataupun dia
pergi ke pasar yang lain supaya dia tidak membebankan peniaga lain
dalam pasaran.

Ini menjadi bukti, pembelaan bagi golongan yang
tidak mampu bersaing bukan berasaskan kaum dan bangsa, tetapi tahap
kemampuan, tidak kira apa bangsa dan kaum dia sekalipun.

Kelima,
semasa Saidina Omar memerintah, beliau tidak membenarkan pengutipan
jizyah dari orang-orang yang lemah seperti kaum wanita dan
kanak-kanak29.

Begitu juga, surat beliau kepada gabenor beliau
yang bernama Osman bin Hunaif yang melarang mengambil jizyah dari orang
yang lemah dari kalangan orang terlalu tua, wanita, orang gila, orang
tidak ada kemampuan bekerja, orang yang tidak ada kemampuan untuk
mendapat upah dan para ahli ibadat yang beribadat dalam rumah ibadat
mereka.

Jelas dari tindakan Saidina Omar ini bahawa memberi
bantuan bukan berasaskan kepada kaum dan bangsa, tetapi berasaskan
kepada kelemahan individu dan kebajikannya yang perlu dijaga.

Ketuanan Melayu wujud dalam Islam?

Berbalik ke Malaysia, seringkali konsep Ketuanan Melayu cuba dihalalkan dengan beberapa hujah, dengan memetik kisah dalam Hadis.

Hujah pertama:

Ketuanan
Melayu ini wujud dalam Islam, dengan merujuk kepada tindakan Saidina
Omar, iaitu ketika tentera muslim telah menguasai Iraq selepas dijajah
Farsi, tanah-tanah masyarakat Iraq sewajarnya dibahagikan kepada tentera
muslim sebagai ghanimah.

Perkara ini dituntut oleh Bilal bin
Rabah. Walau bagaimanapun, Saidina Omar tidak bersetuju dan meminta agar
tanah itu diberikan semula kepada orang tempatan di Iraq. Pendapat
Saidina Omar itu disokong oleh Abd al-Rahman bin ‘Auf.

Jawab:

Perlu
difahami bahawa sesuatu tindakan Saidina Omar dari kisah ini bercanggah
dengan prinsip yang diajar oleh Nabi, iaitu pembahagian harta ghanimah.
Apabila demikian tindakan Saidina Omar, sudah pasti terdapat tujuan
atau punca (Arab: illat atau manat) terhadap tindakan tersebut.

Apa
yang pasti, terdapat riwayat bahawa beberapa kalangan bangsa Arab yang
beragama Yahudi yang dikenali sebagai Bani Tughlub. Mereka memohon untuk
duduk dalam kerajaan Madinah semasa Saidina Omar menjadi khalifah.
Memandangkan mereka tidak beragama Islam, makan mereka perlu membayar
jizyah.

Ketua mereka melihat bahawa orang Islam diwajibkan
membayar zakat, sedangkan golongan bukan Islam termasuk Bani Tughlub
tidak membayar zakat, sebaliknya perlu membayar jizyah. Sebagai kalangan
yang mempunyai sentimen yang suka berperang, ketua Yahudi Bani Tughlub
itu berjumpa dengan Saidina Omar dan menyatakan kebimbangannya —
Andainya Yahudi Bani Tughlub membayar jizyah yang berbeza dengan orang
Islam yang membayar zakat, akan melahirkan tanggapan bahawa mereka
sebagai golongan kelas kedua dalam masyarakat Madinah.

Dengan
ini, dibimbangi di masa akan datang, kelompok Yahudi Bani Tughlub akan
bangun memberontak. Mendengar kebimbangan ketua Yahudi Bani Tughlub
tersebut, Saidina Omar pun menyuruh tukar bentuk bayaran jizyah itu,
bukan lagi dijenamakan sebagai jizyah, tetapi dijenamakan sebagai zakat.

Kisah
ini membuktikan bahawa kebimbangan Saidina Omar adalah faktor masalah
kerajaan tidak stabil di masa akan datang, iaitu kebimbangan masyarakat
Bani Tughlub akan memberontak. Demikian juga ketika baru sahaja mengusai
Iraq sejurus kekalahan Farsi. Ia bukan soal “ketuanan” tetapi soal
menjamin kestabilan kerajaan dari sebarang elemen yang boleh membawa
kepada pemberontakan.

Hujah kedua:

Terdapat dalam Hadis
bahawa Nabi saw berkata, pemimpin itu dari kalangan Quraish. Dengan itu,
ia menjadi dalil bahawa Nabi saw mengangkat konsep “Ketuanan Quraish”,
dan ia selaras dengan konsep “ketuanan Melayu”.

Jawab:

Sesuatu
hukum itu dilihat pada dua sudut, iaitu (a) hukum asal (Arab:al-hukmu
Lizatih), dan (b) hukum yang berubah dengan sebab faktor-faktor tertentu
(Arab: al-Hukmu li Ghairih). Bagi pemahaman konsep hukum ini, kita
mengambil contoh menjual anggur yang dari sudut hukum asalnya adalah
harus. Tetapi, andai tindakan itu memberi implikasi secara pasti untuk
dibuat arak, maka hukum jual anggur yang asalnya harus itu telah
bertukar menjadi haram.

Demikian juga hadis yang menyatakan bahawa
pemimpin itu dari kalangan Quraish. Secara hukum asalnya, pemimpin itu
dilantik berdasarkan kepada kelayakan, merentasi kaum dan etnik. Ini
berdasarkan Hadis bahawa Nabi saw menyatakan, “Apabila disandarkan
sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggu saat kehancuran”, dan
Hadis bahawa Nabi saw bersabda, “Dengar dan taat, walaupun kepada
pemimpin itu seorang hamba yang berbangsa habsyah (berkulit hitam) yang
rambutnya seakan-akan buah anggur yang kering”.

Pun begitu, andai
pelantikan selain Quraish membawa implikasi pertumpahan darah, maka
dalam ketika dan tempat itu, perlu dilantik bangsa Quraish. Dengan
makna, pada ketika dan di tempat yang lain pula, pelantikan selain dari
Quraish tidak mendatangkan implikasi pembunuhan, maka ia tidak termasuk
dalam maksud hadis tersebut.

Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama,
konsep ketuanan Melayu bukan sekadar tidak wujud dalam Islam, malahan
ia tidak wujud dalam perlembagaan seperti mana yang diakui oleh pakar
sejarah, pakar perlembagaan dan tokoh-tokoh besar dalam politik
Malaysia.

Kedua,
walaupun konsep ketuanan Melayu tidak ada, ia tetap dimainkan oleh
parti Melayu Umno. Pun begitu, konsep ini mendapat serangan dari
beberapa tokoh politik, seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Rafidah Aziz dan
sebagainya.

Ketiga, kesan dari mengangkat konsep ketuanan Melayu,
melahirkan persepsi bahawa wujud tanggapan bahawa bangsa selain Melayu
sebagai hamba atau sentimen kekastaan antara sesama manusia berasaskan
kepada bangsa. Tanggapan sebegini, sudah pasti bercanggah dengan ajaran
Islam, kerana Islam menolak konsep perhambaan, dan menolak konsep
perkauman dan kasta.

Keempat, demikian juga, kesan dari mengangkat
konsep ketuanan Melayu ini melahirkan tanggapan bahawa bangsa selain
Melayu sebagai penumpang dan pendatang. Keadaan ini tidak jauh beza
tindakan orang munafiq yang bernama Abdullah bin Ubai bin Salul terhadap
Nabi Muhammad sehingga Abdullah mendapat kecaman dari al-Quran.

Kelima,
konsep ketuanan Melayu sering dikaitkan dengan tindakan afirmatif yang
memberi bantuan; keutamaannya kepada bangsa Melayu. Secara dasarnya,
afirmatif yang diterima dalam Islam bukan berasaskan kepada kaum dan
bangsa, tetapi kepada membangunkan orang yang lemah dan memerlukan,
tidak kira apa bangsa dan anutan agama dia.


WAN JI WAN HUSSIN merupakan pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Tulisan ini dipetik dari saudara.org
Tulisan
ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang
diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi
Malaysiakini.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...