Semoga RUU355 bukan wayang hipokrit di padang siasah: ULASAN | Mengapa tiada anggota parlimen BN dan PAS bangun membantah? Mengapa speaker tidak buka perbahasan?
ULASAN | Seluruh masyarakat dunia
yang berfikiran waras mahukan keharmonian dan kesejahteraan dalam
kehidupan masing-masing. Mana mungkin mereka sukakan kehidupan yang
bergelumang dengan maksiat, pencerobohan dan kekalutan.
Buat masyarakat Islam khususnya, semua yang berpegang utuh kepada
al-Quran dan sunnah pasti mempunyai impian untuk melihat Islam
ditegakkan pada setiap aspek di negara ini.
Justeru usaha menambah baik dan meningkatkan fungsi mahkamah syariah adalah antara langkah awal ke arah itu.
Latar belakang RUU 355
Akta 355 adalah peruntukan yang memberi mahkamah syariah membicarakan
kesalahan jenayah mengikut enakmen sesebuah negeri. Nama lain bagi akta
ini ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Hukuman maksimum yang tersenarai pada akta ini ialah denda RM1,000
dan penjara enam bulan. Pindaan pertama dilaksanakan pada 1984 untuk
meluaskan lagi kuasa menghukum kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000
dan enam sebatan.
Selepas itu, akta ini dipinda lagi pada 1989 untuk diluaskan ke Sabah
dan Sarawak [dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989].
Pindaan terakhir berlaku pada 1997, tetapi ia hanya pada tafsiran sahaja, dan digelar Akta Tafsiran (Pindaan) 1997.
Kesemua pindaan diusulkan pihak kerajaan sehinggalah - buat kali
pertama - pada 2016 apabila cadagan meminda Akta 355 dibawa melalui usul
persendirian oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang
bertujuan untuk meluaskan lagi bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.
Di situlah bermulanya polemik pertama berkenaan usul ini. Mengapa tidak diberikan kepada kerajaan saja membawa usul ini ?
Matlamat RUU 355
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, dalam wacana
RUU 355: Wajarkah Bukan Islam Bimbang? dengan jelas menyatakan bahawa
matlamat utama usul pindaan Akta 355 itu adalah untuk meningkatkan
bidang kuasa mahkamah syariah dan memberi ruang kepada profesyen
kehakiman syariah.
Kronologi RUU 355
Tarikh 26 Mei 2016 merupakan hari pertama usul RUU355 berjaya dibawa di
parlimen. Usul persendirian itu disenaraikan pada turutan ke-15 dalam
mesyuarat parlimen. Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Azalina Othman Said menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2)
mencadangkan usul Abdul Hadi dinaikkan ke nombor satu.
Presiden PAS itu berjaya membacakan usul tersebut buat kali pertama.
Ia merupakan usul persendirian pertama daripada pembangkang yang berjaya
dibacakan dalam sejarah Dewan Rakyat. Tetapi atas faktor keterbatasan
masa, beliau meminta perbahasannya ditangguh ke mesyuarat akan datang.
Penulis ulangi, faktor keterbatasan masa dikatakan sebab mengapa usul itu ditangguhkan.
Pada
24 November 2016, sekali lagi residen PAS diberi peluang membuka
perbahasan kepada usul ini. Sekali lagi, ditangguhkan. Presiden PAS
meminda RUU335 dengan memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30
tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan denda tidak melebihi
RM100,000.
Oleh sebab usul yang dipinda ini berbeza daripada usul terdahulu,
maka perbahasannya ditangguhkan sekali lagi untuk memberi lebih ruang
kepada anggota parlimen mengkajinya.
Diulangi: dikatakan penangguhan kali kedua adalah untuk memberi lebih ruang kepada anggota parlimen mengkaji.
Pada 18 Februari 2017, diadakan pula suatu himpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur bagi mengumpul kekuatan umat Islam.
Seluruh kronologi yang disebutkan di atas berlaku ketika usul
persendirian Abdul Hadi menjadi buah mulut yang sangat hangat dalam
kalangan seluruh rakyat Malaysia.
Analogi lebuh raya lima lorong
Disebabkan polemik ini juga, berpuluh wacana dianjurkan, entah berapa
banyak berita disiarkan media massa, dan yang paling parah, cukup ramai
orang yang terlibat dalam praktik sangat buruk dalam agama iaitu
mengkafirkan sesama umat Islam.
Amalan meraikan perbezaan pandangan dalam Islam tergadai dek kononnya
ingin memperjuangkan Islam. Amalan mendengar hujah yang pelbagai
tercalar, juga “kerana Islam”.
Pada wacana RUU 355: Wajarkah Bukan Islam Bimbang? itu,
salah seorang panelis wacana tersebut memberikan analogi yang sangat
menarik bagi merungkai polemik dan persoalan mengenai RUU355 ini.
Penulis sangat bersetuju dengan analogi yang diutarakan Dr Zulfakar
Ramlee, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa.
“Pindaan
Akta 355 ini seumpama permit atau lesen untuk membina lebuh raya lima
lorong (lima lorong yang memperkasakan lima asas maqasid syariah).”
Apabila menyebut cadangan pembinaan lebuh raya, terdapat dua
pandangan. Pandangan pertama daripada golongan yang tidak bersetuju,
kerana tanahnya akan diambil, dan akan ada tol membebankan. Pandangan
kedua pula datang daripada golongan yang bersetuju, dengan alasan
pembinaan itu akan menjadikan perjalanan lebih lancar dan selesa.
Beginilah analoginya untuk usul pindaan Akta 355 ini. Ada yang tidak
bersetuju kerana belum terbukti kesempurnaan proses perancangan dan
beberapa isu teknikal untuk pindaan ini. Mungkin mereka bukan tidak
bersetuju, sebaliknya cuma belum bersetuju.
Proses ke arah pembinaan lebuh raya memerlukan perancangan yang
sangat rapi, seperti rundingan dengan pemilik tanah, bayaran pampasan
sewajarnya, menyediakan pusat rehat dan rawat yang terurus baik. Ia
bukan sekadar membina tol dan mendenda mereka yang melanggar peraturan.
Begitu juga untuk pindaan RUU355. Ia memerlukan perancangan yang
rapi, rundingan dengan pelbagai pihak dan pelaksanaan dalam suasana yang
adil dan jauh daripada fitnah.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Usul Abdul Hadi
seolah-olah usul yang wajib disokong. Tidak boleh tidak. Lalu pada masa
tertentu akhlak seseorang penganut Islam bertukar menjadi sesuatu yang
sangat menjelekkan – kononnya atas nama Islam.
Dipamerkan dengann keanehan
Kemudian ada pula penngumuman oleh Presiden Umno dan timbalan perdana
menteri mengenai cadangan kerajaan membawa usul berkenaan. Namun ia
ternyata tidak menjadi kenyataan.
Apakah nasib RUU355? Ada yang mengatakan ia ibarat anak luar nikah,
ada yang mendakwa ia ibarat bola sepak dan macam-macam lagi perumpamaan
lain.
Sampailah tarikh 6 April 2017. Walaupun pada awalnya ia cuba
dilambatkan oleh beberapa anggota parlimen, akhirnya ia berjaya dibawa
oleh Abdul Hadi. Kemudian, disokong anggota parlimen Kota Bharu dengan
perbahasan lebih kurang dua jam.
Kedua-dua mereka menyampaikan ucapan dengan cukup baik sekali.
Namun, alangkah malangnya, tiba-tiba sahaja Speaker Dewan rakyat menangguhkan sidang hingga ke tarikh lain.
Sekali lagi, usul ini dipamerkan dengan keanehan. Mengapa perlu
tiba-tiba ditangguhkan padahal malam sebelumnya Dewan Rakyat hanya
taamatk kira-kira jam 5 pagi?
Lebih membuatkan kita menggaru kepala, mengapa tiada anggota parlimen
BN dan PAS bangun membantah? Mengapa speaker tidak buka perbahasan?
Mengapa ada beberapa pihak harus bersorak sedangkan usul ini masih belum
diluluskan?
Banyak lagi persoalan yang timbul mengenai drama yang nampaknya masih belum selesai ini.
Harapan
Apa sebenarnya sedang melanda? Ramai bertanya, mengapa usul ini harus
ditakuti, mengapa tidak disokong sahaja seperti pindaan terdahulu.
Penulis berpandangan sebab utamanya ialah senario dahulu dan sekarang
berbeza. Dahulu dibawa oleh kerajaan, tidak ditangguh sampai sebegini
rupa, tidak ada sebarang himpunan diadakan dan tiada sesiapa dikafirkan.
Namun kali ini, sangat berbeza dan lain dari sebelumnya.
Lebih mengecewakan apabila tiada seorang pun ahli parlimen dari
Pakatan Harapan yang diberi peluang berbahas seperti yang diluahkan oleh
anggota parlimen Pandan, Kapar dan Shah Alam.
Medan dakwah apa yang ingin kita bawa dan ketengahkan? Medan dakwah
bagaimana yang ingin kita tonjolkan? Keadilan, kejujuran, kesopanan,
keramahan semuanya hapus tergadai. Yang diketengahkan adalah caci-maki,
pengkafiran dan hina menghina.
Dalam penubuhan sebuah negara yang berbilang kaum, penulis sangat
bersetuju dengan saranan Prof Dr Siddiq Fadzil supaya perkataan “kafir”
dibuang daripada perbendaharaan lisan kita dan diganti dengan “bukan
Islam”. Ia jelas lebih menyerlahkan kesantunan Islam.
Dalam usaha ingin mendaulatkan Islam, sesetengah kita mengetepikan
keadilan. Kita telah mengenepikan adab dan sopan santun. Islam apa yang
diperjuangkan? Islam apa yang ingin ditegakkan? cukup banyak unsur Islam
yang lain dinyahkan.
Mungkin kita sudah lupa apa yang pernah ditulis oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitab I’lam al-Muwaqi’in:
“Syariah itu binaan dan asasnya berdasarkan hikmah dan maslahah hamba
di dunia dan di akhirat. Semuanya merupakan keadilan, seluruhnya
merupakan maslahah. Setiap persoalan yang keluar daripada keadilan
kepada kezaliman, daripada kasih sayang kepada sebaliknya, daripada
maslahah kepada mafsadah, daripada hikmah kepada sia-sia, semua itu
bukan dari syariah walaupun didakwa sebagai syariah menerusi tafsiran
tertentu".
Penulis cuma berharap agar usul ini tidak digunakan sebagai modal
politik pihak tertentu. Jujurlah jika mahu membawa Islam. Jika usul ini
terus dilacurkan sebagai modal politik, nescaya negara kita akan terus
berhadapan dengan penjual agama sehingga agama bakal jadi perkara paling
laris menggapai keuntungan duniawi.
Harapan ramai pihak ingin melihat polemik ini terhenti dengan perbahasan di Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan lagi.
Penulis sayangkan Islam dan umatnya. Maka, penulis punya mimpi yang
diyakini bukan sekadar fatamorgana, iaitu Islam menjadi agama yang
ditonjolkan kesempurnaanya dari segenap aspek kehidupan, agama yang
menjadi kebanggaan kepada seluruh umat Islam.
Dan yang paling penting, Islam menjadi agama yang mempesonakan penganut agama lain.
Semoga usul RUU355 tidak terus menjadi wayang hipokrit dalam padang
siasah Malaysia. Kita harus sentiasa ingat bahawa Islam adalah agama dan
warisan yang mesti dikongsi bersama seluruh masyarakat di dunia ini.
Penulis sangat yakin dan bersetuju dengan salah satu tulisan Sheikh
Rached Ghannouchi, bahawa politik Islam bukan dalam keruntuhan tetapi
sebenarnya mengalami proses pembentulan ke arah fasa baru, dengan urus
tadbir yang lebih baik.
Ia melalui beberapa jejak langkah ke belakang dan bersiap sedia untuk
pelancaran baru maju ke hadapan. Rintangan-rintangan yang dihadapi itu
hanyalah titik-titik kejatuhan sementara pada rajah keluk peningkatan
menyeluruh.
RUU 355 telah menjadi polemik yang mengecewakan ramai. Moga ia tidak terus mengecewakan.
MOHAMMAD MIRZAN ABDUL MAJID ialah pelajar tahun dua fakulti fiqh wa usuluh Universiti Mu'tah, Jordan.
No comments:
Post a Comment