KENYATAAN AKHBAR
1.Sudah empat bulan berlalu sejak Majlis
Raja-raja mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB di Istana Negara pada 7
haribulan Oktober, 2015. Kenyataan tersebut menyentuh mengenai
keprihatinan Majlis terhadap “keresahan dan kebimbangan Rakyat apabila
kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam melaksanakan amanah Rakyat
mentadbir negara” dikritik.
2.Jelas daripada kenyataan tersebut,
Majlis melihat bahawa “keamanan dan kemakmuran negara yang perlu
berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan Rakyat dapat hidup
dalam harmoni” boleh terjejas teruk dengan kontroversi 1MDB.
3.Oleh itu, Majlis telah menitahkan semoga siasatan terhadap 1MDB
diselesaikan secepat mungkin dan “penemuan siasatan dilaporkan secara
lengkap dan telus supaya Rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan
Kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran.”
4.Persoalannya, setelah empat bulan berlalu adakah Kerajaan Persekutuan
pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak telah patuh kepada titah
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui Majlis Raja-raja
yang merupakan harapan terakhir bagi Rakyat memohon dan merayu
perlindungan, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Persekutuan, khususnya
Perdana Menteri telah tidak diyakini Rakyat?
5.Adakah dengan
hanya beberapa kenyataan oleh Menteri yang dilihat mengkais ketepi titah
KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, dan tiada respon dari
Perdana Menteri sendiri sudah memadai untuk dianggap sebagai jawapan
kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Majlis? Wajarkah titah KeBawah
Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ditepis sebegitu rupa tanpa
apa-apa respon yang beradab dan munasabah?
6.Perlu diingatkan
bahawa kenyataan Majlis berakar dari cambahan rungutan yang disembah
maklum oleh Rakyat. Majlis tidak akan mengendahkan aduan dan rintihan
daripada Rakyat jelata itu jika difikir ianya tidak berasas. Jelas
sekali, apabila Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan yang ditujukan
khas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai 1MDB, ianya bukan sesuatu yang
boleh diremeh dan tidak diendahkan.
7.Dalam ucapan saya di
Istana Anak Bukit bagi menyembah tahniah bagi pihak Kerajaan Negeri dan
seluruh Rakyat Kedah Darul Aman sempena Ulang Tahun Keputeraan KeBawah
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang ke-88 pada 17 haribulan
Januari, 2016, saya telah sentuh perkara ini dengan ungkapan :
“
Bagi pihak seluruh Rakyat, Patik bimbang akan kemerosotan nilai
penghormatan terhadap Institusi DiRaja dan Islam. Rakyat sentiasa
menjunjung tinggi naungan Sultan sebagai payung negeri dan negara.
Namun, apabila titah Tuanku tidak dijunjung, ianya membangkitkan
kemarahan Rakyat kerana titah Sultan dan Majlis Raja-raja Melayu tidak
boleh dipandang remeh. ”
8.Pada ketika itu, saya sudah dapat
lihat betapa titah Majlis Raja-raja tidak diambil serius oleh Perdana
Menteri dan Kerajaan Persekutuan, walhal titah itu mencerminkan
keresahan Rakyat. Malah sejak kenyataan tersebut dikeluarkan, tidak ada
apa-apa perkembangan yang meyakinkan Rakyat bahawa siasatan ke atas isu
1MDB itu berjalan mengikut lunas undang-undang, dan satu kesudahan yang
boleh diterima semua akan terhasil.
9.Sebaliknya, Perdana Menteri
seolah-olah menjadi suara rasmi 1MDB, mempertahan segala tindakan 1MDB,
dan cuba mengaburi pandangan Rakyat dengan pengumuman-pengumuman tidak
relevan seperti pembayaran balik hutang-hutang 1MDB.
10.Di suatu
majlis bersama rakan-rakan seperjuangan dalam UMNO di Saloma Bistro,
Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada 11 haribulan Disember, 2015, saya
telah sentuh mengenai keengganan dan kegagalan Perdana Menteri,
Menteri-menteri tertentu dan Arul Kanda menjawab soalan-soalan yang
telah dikemukakan oleh pelbagai pihak yang resah dengan kes 1MDB.
Walaupun secara berseloroh, namun maksud tersirat saya itu amat difahami
oleh semua pihak yang mendengar ucapan tersebut. Malah, Dato’ Seri
Najib sendiri menyatakan kepada saya bahawa ucapan itulah yang
menimbulkan rasa marah beliau terhadap saya, mengakibatkan saya
dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah.
11.Pokok pangkalnya,
soalan yang ada di dalam pemikiran seluruh Rakyat Malaysia, dan saya
fikir termasuk Majlis Raja-raja juga ialah apakah yang terjadi kepada
berbillion-billion wang Rakyat yang telah dipinjam dari cagaran aset
negara dan dibelanja oleh 1MDB atas persetujuan dan kelulusan Pengerusi
Panel Penasihatnya iaitu Perdana Menteri sendiri. Itulah soalan yang
paling utama ditanya berulang-ulang kali oleh semua pihak.
12.Namun begitu, “jawapan” yang diberikan ialah bahawa dalam masa enam
bulan lagi semua hutang-hutang itu akan dilangsaikan dengan penjualan
saham anak-anak syarikat 1MDB dan aset.
13.Apabila soalan pokok
tidak dijawab walaupun ditanya berulang kali, dan penerangan yang
diberikan (termasuk melalui cetakan buku-buku oleh pihak JASA) tersasar
dari soalan pokok dan cuba mengelirukan Rakyat dengan maklumat-maklumat
yang tidak relevan, maka mahu tidak mahu terbentuklah andaian bahawa ada
fakta dan kebenaran yang hendak disembunyikan oleh Dato’ Seri Najib.
14.Oleh yang demikian, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan
berlangsung pada 17 dan 18 haribulan Februari, 2016 ini, dengan penuh
hormat dan takzimnya saya merayu kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku-Tuanku Sultan dan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua-Yang DiPertua
Negeri semoga mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua
Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,
Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk
melaporkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai siasatan-siasatan mereka
mengenai 1MDB secara telus dan benar tanpa melindungi mana-mana pihak.
15.Jika ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campurtangan oleh pihak
yang disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai,
maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan DiRaja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat
mungkin.
16.Sesungguhnya, dalam tempoh lebih setahun ini, kes
1MDB dan lain-lain isu membabitkan Perdana Menteri telah membelenggu
negara. Tahap keyakinan Rakyat terhadap kewibawaan dan integriti
Kerajaan Persekutuan yang diterajui Dato’ Seri Mohd Najib semakin
terhakis apabila beberapa pihak berkuasa luar negara membuat kenyataan
mengenai siasatan yang telah mereka lancarkan ke atas beberapa transaksi
mencurigakan yang melibatkan 1MDB. Ini termasuklah siasatan yang
dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara Switzerland terhadap kes
penyelewengan dana yang membabitkan 1MDB.
17.Sambil Rakyat
meratapi nasib negara, dunia memerhati masalah demi masalah yang menimpa
Malaysia, dan tertanya-tanya kenapa ini boleh berlaku dan apa
kesudahannya. Rata-rata seluruh dunia mencemuh dan memandang serong
terhadap Malaysia yang dikatakan antara negara yang paling korup
sekarang. Adakah kita masih boleh memejam sebelah mata dan bersikap
toleran lagi?
18.Perkara yang saya bangkitkan ini adalah soal
kepentingan negara. Janganlah sesiapapun cuba mengalih perhatian Rakyat
dengan mempolitikkan kenyataan saya ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala
memberi petunjuk dan hidayah, melindungi negara dan seluruh warganya
dari malapetaka, khususnya dari angkara manusia sendiri.
DATO’ SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Mantan Menteri Besar Kedah Darul Aman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
ADUN Ayer Hitam
7 Februari 2016
No comments:
Post a Comment