PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyangkal
sekeras-kerasnya laporan akhbar tempatan bahawa mereka meraih keuntungan
dengan mengaturkan program latihan dan perlawanan persahabatan di
Australia.
FAM dalam satu kenyataan hari ini berkata kunjungan Harimau Malaya ke
Australia tidak sepatutnya timbul kerana apa yang dilakukan mendapat
kelulusan pihak pengurusan tertinggi badan induk tanah air itu.
“Di peringkat pertama, permohonan untuk Kem Latihan di luar negara akan
dikemukakan oleh Ketua Jurulatih dengan persetujuan Pengurus Pasukan
kepada Sekretariat FAM.
“Sekretariat FAM seterusnya akan mempersembahkan permohonan serta
anggaran perbelanjaan kepada KDYMM Tuanku Presiden FAM merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan-Pasukan Kebangsaan, Sultan Haji Ahmad
Shah untuk diperkenan Baginda
“Hanya selepas diluluskan oleh KDYMM Tuanku Presiden FAM, dan sesuai
dengan kemampuan kewangan FAM, barulah pasukan berkenaan akan membuat
persediaan selanjutnya untuk Kem Latihan di luar negara dan prosedur
yang sama dipraktikkan untuk semua Pasukan-Pasukan Kebangsaan.
“Jadi, adalah sama sekali tidak berasas untuk mana-mana pihak mendakwa
bahawa ada individu atau pihak tertentu membuat keputusan secara
tersendiri dan mendapat keuntungan atau meraih habuan daripada program
itu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, mereka memohon kerjasama daripada pihak media
untuk mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada FAM sebelum
melaporkan berita-berita yang berunsur negatif dan tidak berasas.
Ini kerana, berita-berita tidak berasas seumpama itu memberi tanggapan negatif terhadap FAM.
Apa yang diperkatakan FAM itu reaksi mengenai dakwaan wakil PFSLJ,
Alfadli Awaludin dalam laporan Arena Metro semalam bahawa ada pihak yang
meraih keuntungan dengan mengaturkan program latihan dan perlawanan
persahabatan di Australia.
Menurut Alfadli, pasti ada sesuatu yang tidak kena apabila FAM menolak
mentah-mentah perlawanan persahabatan antarabangsa dengan skuad juara
Piala AFF 2012, Singapura dan memilih untuk ke Australia bagi bertemu
kelab bertaraf ‘Liga Perdana’, Canberra FC, Sydney Olympic FC dan
Marconi Stallion.
Untuk rekod, siri jelajah Australia itu merupakan persiapan Datuk K
Rajagobal membentuk barisan terbaik sebelum berdepan Bahrain di Stadium
Nasional, Bukit Jalil dalam aksi peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia
2015 pada 15 Oktober depan.
Ketika ini, skuad negara menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan tiga
mata selepas dikecewakan Qatar 0-2 sebelum kembali bangkit mengecewakan
Yemen 2-1 di Stadium Shah Alam, 22 Mac lalu.
Harimau Malaya juga bakal berdepan Chelsea pada 21 Julai dan Barcelona
(10 Ogos) dalam dua lagi aksi persahabatan sebelum menyambung misi dalam
kempen kelayakan Piala Asia 2015.
No comments:
Post a Comment