Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan mesyuarat pertama dengan pegawai kanan kerajaan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan di sini hari ini dengan mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi dengan pegawai kanan perkhidmatan awam.
Mesyuarat berkaitan pelaksanaan 10 janji 100 hari itu yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, semua ketua setiausaha dan ketua pengarah kementerian, diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, yang menempatkan pejabat Mahathir selaku presiden kehormat yayasan itu.
Sebelum mesyuarat itu, Mahathir mengadakan pertemuan empat mata dengan Ali.
Menurut laporan semalam, Mahathir berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua ketua setiausaha kementerian untuk menjelaskan fungsi dan peranan kerajaan baharu.
Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan kepada SPRM berhubung beberapa dakwaan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan SPRM, Datuk Abdul Razak Idris berkata, laporan itu berkaitan apa yang disyaki sebagai tindakan menghalang siasatan berhubung kes Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menurutnya, SPRM antara lain digesa menyiasat Najib yang disyaki menggunakan kuasa untuk menghalang siasatan kes berkenaan dan menuntut supaya bekas perdana menteri itu mengisytihar hartanya.
Bercakap kepada pemberita sebelum membuat laporan berkenaan kepada SPRM di sini, Abdul Razak berkata, jika nilai harta yang dimiliki itu tidak setara apabila dibanding dengan emolumen sah, perkara itu perlu diberi penjelasan.
"Kalau tidak boleh dijelaskan, itu satu kesalahan," katanya sambil menambah laporan itu dibuat mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 Rabu lalu sekaligus menamatkan pemerintahan BN di Malaysia selama 61 tahun.
Susulan kemenangan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 10 Mei mengangkat sumpah jawatan perdana menteri buat kali kedua. - Bernama