Walaupun hanya mendapat pendidikan sehingga darjah enam,
Tosrin Jarvanthi tidak pernah menjadikan ini satu kekurangan malah
sebagai pembakar semangat untuk beliau melaksanakan tugas sebagai wakil
rakyat selama ini.
Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan
Pembangunan Luar Bandar Johor yang baru itu mencuri perhatian media
apabila mengakui dirinya hanya mempunyai kelayakan pendidikan setakat
darjah enam.
Bagaimanapun, veteran politik itu bukanlah orang baru
dalam pentadbiran, malah pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Sedili satu ketika dahulu, sebelum sekali lagi memegang kerusi
Adun bagi Bukit Permai, dengan tiket parti berbeza.
Tosrin turut
menegaskan latar belakang itu tidak sesekali akan mematahkan semangatnya
untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan negeri demi
kepentingan dan kesejahteraan rakyat Johor.
"Saya cakap terus
terang, saya tak tipu saya tiada sijil, tiada diploma saya hanya
bersekolah setakat darjah enam sahaja di Sekolah Kebangsaan Ladang
Fraser dan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting.
"(Bagaimanapun)
saya menganggap saya muda lagi dan sebelum ini, ada sebahagian pegawai
saya yang muda, tidak terkejar dengan cara saya (cara bekerja)," katanya
ketika ditemui pemberita selepas sidang media sempena pelantikan Ahli
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di pejabat Menteri Besar di
Iskandar Puteri, hari ini.
Sebagai bukti, beliau telah pun
menyediakan satu rangka kerja di bawah portfolionya untuk memastikan
beliau dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Tosrin (gambar), 69, pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Muhyiddin Yassin, yang ketika itu timbalan perdana menteri.
Sementara
itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang Mohd Solihan Badri
menyifatkan amanah yang diberikan kepada beliau agak berat dan mencabar
dan beliau akan sedaya upaya melaksanakannya dengan baik.
Mohd
Solihan, 62, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Pengangkutan dan
Infrastruktur negeri yang baharu menggantikan Adun Puteri Wangsa, Mazlan
Bujang.
“Saya akan lihat sama ada (Mazlan Bujang) telah menyusun
strategi pembangunan Johor. Jika ada, saya akan teruskan dan ditambah
baik.
“Saya dengan Mazlan adalah rakan yang baik, saya banyak berhubung dengan beliau, sama ada dalam parti ataupun di luar parti.
"Oleh
itu, saya rasa khidmatnya masih diperlukan,” kata beliau yang merupakan
lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia
(USM).
Bagi Adun Jementah, Tan Chen Choon yang diamanahkan dengan
portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan
Bandar dan Alam Sekitar pula, pengalamannya dalam pelbagai bidang
termasuk menjadi seorang jurutera di syarikat swasta, sebelum ini, akan
dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab.
Katanya,
beliau juga berterima kasih kepada partinya iaitu parti DAP serta
Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal yang memberikan kepercayaan kepadanya
untuk berkhidmat dalam barisan exco.
- Bernama
No comments:
Post a Comment