Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA
Kempen Boikot Perniagaan Bangsa CINA

Sunday, December 9, 2018

Melayu - tiga suku kata cetus seribu rasa @ Bangkitlah Melayu, dengan ketuanan akhlak dan ketuanan rahmah.

Melayu - tiga suku kata cetus seribu rasa

Abu Maryam  | 
Diterbitkan  | 
Dikemaskini


   
ULASAN | Melayu - tiga suku kata yang menimbulkan seribu satu perasaan dan bayangan, sama ada tenang atau benci.

Malas atau rajin, bodoh atau bijak, jahat atau baik, mudah diperdaya atau sihat akalnya.

Rasis atau Islamik.

Sekian
lama Melayu menyamakan perjuangan bangsa mereka dengan perjuangan
Islam. Hari ini, sebagai seorang Melayu, saya ingin menjentik fikiran
bangsa saya untuk mengimbau kembali keselarian pemikiran mereka dengan
agama yang mereka akui sebagai penganutnya.

Jentikan ini mahu
membawa teguran kepada orang Melayu, khususnya kepada pihak seperti
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Perkasa yang terlalu taksub
memperjuangkan tiga suku kata yang melambangkan bangsa kita itu.

I. Sahifah Madinah

Piagam Madinah sering dijulang agamawan dan kalangan usrah sebagai kontrak sosial yang unggul digubal oleh Nabi Muhammad SAW.

Dikisahkan
suku-suku kaum di Madinah zaman dahulu mencari-cari seorang individu
yang dapat mendamaikan perbalahan antara mereka.

Mereka beragama Pagan, Yahudi dan Kristian. Namun sebahagian besar telah memeluk Islam apabila Muhammad menyampaikan risalahnya.

Muhammad
diminta untuk memimpin mereka dan maka tercetusnya Piagam Madinah (atau
Sahifah Madinah) yang dikatakan ramai sejarawan sebagai piagam bertulis
pertama di dunia.

Muhammad bukanlah orang tempatan, tetapi dari
Mekah. Selain menjadi tanda ketrampilan Muhammad sehingga penduduk yang
beratus kilometer jauhnya menghajati kepimpinannya, Piagam Madinah juga
pembawa mesej rahmah.

Sememangnya Piagam Madinah adalah
pentadbiran bercorakkan agama tetapi konsep ini, menurut cendekiawan Dr
Yasir Qadhi, adalah sesuatu yang progresif pada zaman tersebut. Orang
Yahudi di sana diberi hak yang sama sebagai warga dengan orang Islam dan
semua golongan wajib berganding bahu jika terdapat serangan dari pihak
luar.

Dari segi kebajikan dan ekonomi pula, kerajaan secara amnya
tidak mencampuri urusan harian orang Islam dan orang Yahudi. Mereka
bebas berniaga sesama sendiri, malah pembangunan satu kaum memberi kesan
baik kepada kaum yang lain kerana saling kebergantungan mereka.

Ini berlainan dengan sentimen sejumlah orang Melayu yang merasakan membenci Yahudi itu Islamik.

Mesej
seperti ini nampaknya tidak dapat dihadam oleh Isma dan PAS yang sering
meremeh-remehkan slogan 'rahmatan lil alamin'. Mereka mengatakan
kerajaan bersikap rahmah kepada kafir (yakni orang yang menolak risalah
Islam yang tulen).

Sedangkan semua di alam ini, termasuk haiwan,
tumbuhan, Isma sendiri dan juga golongan kafir, termasuk sebagai
'alamin'. Ia menjadikan kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang
dipelajari mereka dalam sesi usrah.

II. Antara darah dan pegangan

Ikut
bicara seorang ustaz yang saya tidak sangka kealimannya dalam subjek
sejarah (dan bukannya memandai bercereka tentang asal-usul kata 'Melayu'
seperti ustaz jari tengah di Kedah), takrif 'Melayu' sebelum Merdeka
adalah mereka yang tinggal di Tanah Melayu, menganut agama Islam,
mengamalkan budaya Melayu serta pandai berbahasa Melayu. Ini memang
termaktub di halaman 174 Perlembagaan Malaysia.

Maka selepas
Merdeka mereka secara automatik memperoleh status 'Melayu' bersama-sama
dengan hak-hak istimewanya. Tak kiralah jika berasal dari Bangladesh,
Indonesia, Gujerat, dan malah Somalia, semuanya 'Melayu asalkan beragama
Islam ketika Merdeka diisytiharkan.

Menariknya, dan juga
malangnya, 'diskaun' khas ini hanya terpakai pada waktu itu.
Pascamerdeka dan sehinggalah hari ini, tiada lagi mana-mana individu
yang masuk Islam akan memperoleh status 'Melayu.'

Jika hari ini
seorang pemuda ateis Cina memeluk Islam kerana tertarik dengan mesejnya
yang logik dan masuk akal, dia tetap tidak layak membeli rumah lot
Bumiputera. Tetapi Perlembagaan memberikan takrifan 'Melayu' kepada
zuriatnya atas sebab beragama Islam.

Satu lagi perkaitan Melayu
dan Islam di sisi Perlembagaan - jika seorang Melayu memilih untuk
meninggalkan fitrah Islam, dia secara automatik kehilangan status
'Melayu'.

Jika keluar Islam akan hilang hak istimewa. Masuk Islam hanya dapat syurga sahaja di akhirat kelak. Aneh dunia ini.

Tuhan
berhak meletakkan hamba-Nya di neraka kerana tidak memilih kebenaran
kerana pegangan hidup, tidak seperti darah dan keturunan, adalah pilihan
sendiri.

Tetapi di sini undang-undang menjadikan mustahil untuk
seorang Melayu itu memilih menjadi ateis atau Baha'i atau
Zoroastrianisme. Bukan pilihan mahupun takdir.

III. Antara silam, semasa dan akan datang

Tuhan
mencipta manusia berbeza-beza kaum dan etnik. Tetapi tiada siapa yang
boleh membezakan cap jari seorang Uyghur dengan seorang Komunis, seorang
Muslim dengan seorang teroris, seorang anggota Isma dan seorang mangsa
propaganda mereka.

Sampai bila kaum bukan Melayu mampu menahan
diri dalam suasana 'warga kelas kedua' ini? Sampai bila orang Melayu
hendak berpegang kepada romantisme kontrak sosial?

Kalau hendak
berpegang kepada sejarah silam, Sabah pun milik Kesultanan Sulu. Dan
kalau hendak berpegang kepada sejarah yang lagi silam, semua manusia
berasal dari Afrika.

Dan menurut kajian saintis genetik Dr Craig
Venter, konsep etnik atau 'ras' tiada asas saintifik tetapi sekadar
label sesama manusia. Walaupun mempunyai peranan memudahkan urusan dalam
kehidupan, ia juga mudan dipergunakan untuk menegaskan kelebihan satu
kelompok ke atas kelompok yang lain.

Ibu saya orang Cina. Tiga daripada lima beradiknya sudah lama berhijrah ke luar negara kerana ini.

Buat
masa sekarang saya jangka orang bukan Melayu masih boleh bertahan
dengan konsep Ketuanan Melayu. Tapi bagaimana dengan seratus atau 200
tahun akan datang? Adakah cucu cicit cuit mereka akan terus berdiam diri
dan tunduk akur hanya kerana mereka lahir sebagai Ah Lek, Saravanan,
dan de Cruz?

IV. Keadilan hapus prasangka
Jika
Sahifah Madinah menjadi teladan unggul bagaimana kepelbagaian diraikan
dan tiada warga kelas kedua, maka adakah orang Melayu sebenarnya perlu
mengimpikan kesamarataan kaum, bukannya membantah konvensyen yang
menolak diskriminasi? Atau barangkali hak istimewa orang Melayu lebih
menepati agama berbanding kesamarataan?

Yang dibawa Islam adalah
idea pemimpin tertinggi negara harus beragama Islam. Selain itu -
pentadbiran negara, komposisi bukan Islam dalam pentadbiran, dan
dasar-dasar - terpulang kepada ijtihad.

Kerana yang dikejar adalah
keamanan. Keamanan inilah keadaan di mana Islam boleh disebar dengan
baik. Keadaan tegang dan penuh syak wasangka menyukarkan risalah Islam
disampaikan.

Kerana itu ramai kalangan agamawan yang berakal tidak
menyokong perjuangan Umno mahupun berkawan dengannya. Selama 60 tahun,
Umno membawa mesej Islam dengan pakaian kaum dan kononnya sebagai 'tuan
tanah'. Tempikan dan jeritan 'ketuanan Melayu' membuatkan ramai
berprasangka buruk terhadap Islam.

Berbanding menempik dan
menjerit, lebih penting untuk orang Melayu meningkatkan daya saing. Hak
istimewa yang dirasai kini entah berapa lama lagi diizinkan Tuhan untuk
terus wujud.

Maka untuk jangka masa panjang, orang Melayu
sepatutnya berusaha ke arah bersaing di padang yang sama rata. Tiada
mana-mana pihak yang rasa tertindas dek kerana perkara yang sudah
tergubal dan kemajuan diri bergantung kepada kecekalan dan kebijaksanaan
masing-masing.

Saya sebagai seorang separuh Melayu dan sepenuhnya
Islam mengimpikan keadaan ini. Bangkitlah Melayu, dengan ketuanan
akhlak dan ketuanan rahmah.


Abu Maryam ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...