ULASAN | Saya akan cuba mengulas
berkenaan keperluan memindah aset tidak untung milik Tabung Haji (TH)
kepada syarikat tujuan khas (SPV) bagi tindakan jangka pendek dengan
bahasa mudah dan difahami orang awam.
Menurut standard laporan
kewangan (FRS), sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika
nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara
berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan. Bagaimanapun, menurut
Pricewaterhouse Coopers (PwC), TH sebelum ini menetapkan had ambang
(threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali
pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.
PwC berkata jika had ambang
ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak
RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut
diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.
PwC
berkata tindakan menyembunyikan kerugian ini dengan tujuan menunjukkan
jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012. Akta
Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi. PwC
berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh
12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.
Bagi
menghadapi masalah peninggalan pentadbiran lama tersebut, TH dilihat
berusaha mengemas kini aset tidak menguntungkan yang bernilai lebih RM
19.9 billion (berbanding asset yang bagus bernilai RM 57.1 bil). Ertinya
aset ini semuanya rugi di atas kertas dan jika tidak memberikan hasil
kepada TH bagi tahun kewangan terkini dan kewujudannya di dalam buku TH
hanya merosakkan kesihatan laporan kewangan, TH yang akhirnya akan
menyekat pemberian dividen kepada pendeposit.
Maka bagi merawat
hal terbabit dengan segera, pihak TH memilih untuk memindahkan atau
menukarkan aset tidak untung ini (sebagaimana klasifikasi yang
ditetapkan oleh TH sendiri dan kaedah perakaunan) kepada SPV di bawah
Kementerian Kewangan.
Ini satu bail out
Ia
perlu dilaksanakan kerana tiada entiti perniagaan yang ingin membeli
aset kurang bagus itu pada waktu ini, maka Kementerian Kewangan adalah
entiti yang tepat mewakili kerajaan Malaysia bagi tujuan menerima
pemindahan dengan berbalaskan pegangan instrumen pelaburan Sukuk dan
saham keutamaan boleh tebus - Islamik (RCPS-I) untuk dimiliki oleh TH.
Pegangan
Sukuk bertempoh matang tujuh tahun terbabit akan memberikan jangkaan
pulangan sebanyak lima peratus setahun kepada TH berbanding aset tidak
bagus sedia ada yang tidak memberikan apa-apa. Bagaimanapun RCPS-I yang
bernilai RM 9.9 bilion tiada tarikh matang dan tiada dividen tetapi
sentiasa terbuka untuk ditebus kembali oleh TH. Jika digabungkan
kedua-duanya bererti untuk aset bernilai RM 19.9 bilion, TH bakal
mendapat pulangan 2.5 peratus setahun.
Saya juga tidak lihat
bagaimana mungkin Kementerian Kewangan akan ‘merampas’ aset tiada hasil
itu di masa akan datang, Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc
membawa agenda kerajaan, berbeza dengan syarikat yang sifatnya hanya
mengejar keuntungan. Kecuali jika SPV di bawah MOF inc itu menjualnya
kepada pihak ketiga. itu pun perlu diputuskan oleh kerajaan dan bukannya
keputusan satu dua orang sahaja, khususnya jika aset terbabit adalah
aset strategik.
Semua wang pendeposit turut dijamin oleh
kerajaan. Sebenarnya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan
‘hampir’ boleh dikatakan sedang ‘bail out’ TH melalui dua instrumen ini. Orang yang tidak biasa isu kewangan mungkin menganggapnya sebagai pelik.
Aset
tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua
kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua
peratus dan bagi ekuiti, kemerosotan nilai melebihi 20 peratus. Justeru
jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion.
Sefaham
saya, tindakan pemindahan kepada SPV dan menerbit instrumen pelaburan
Sukuk dan RCPS-i tersebut boleh memberi kebaikan kepada TH.
Pertama,
ia menjadikan TH mungkin berpeluang mendapat keuntungan daripada
pegangan sukuk sebanyak lima peratus setahun berbanding terjerat dengan
aset tidak untung serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan
membesarkan jumlah impairment loss dalam laporan kewangan Tabung Haji.
Kedua,
ia memastikan TH mampu memberikan dividen kepada pendeposit kerana
tanpa pemindahan melalui terbitan dua instrumen patuh shariah itu, TH
akan dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset
justeru - menurut aktanya - tidak boleh membayar dividen.
Jangan politik berlebihan
Adalah
hal biasa SPV di bawah MOF Inc bertindak untuk tujuan-tujuan spesifik
memegang aset kerajaan atau institusi kerajaan. Dulu pun kerajaan
merawat non-performing loans melalui Danaharta Nasional Bhd yang berfungsi seperti SPV pada waktu itu.
Kini
model yang digunakan dan dibentuk di bawah MOF ialah dengan mengambil
aset dengan ’bayaran’ sukuk dan RCPS-I sebagai balasan kepada TH. Ini
tidak bermakna aset itu dimiliki oleh menteri kewangan, timbalannya atau
mana-mana individu politik, tetapi dipegang oleh kerajaan Malaysia
sendiri. Mungkin menjadi sebahagan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
pada masa akan datang juga.
Sebaiknya isu ini tidak dipolitikkan
berlebih-lebihan (sedikit saja adalah natural kerana tiada apa yang
dapat lari dari politik) kerana pihak TH sedang berusaha sungguh-sungguh
membaik pulih lembaga itu yang sebelum ini dipegang oleh orang politik
(dari kalangan ahli Lembaga Pengarah) sehingga kelihatan wujud campur
tangan yang akhirnya mengurangkan kredibilitinya.
Semua ahli
lembaga pengarah TH hari ini bukan dari kalangan politik dan cadangan
pemindahan ke SPV di bawah MOF juga sefaham saya datang dari
perbincangan lembaga Pengarah, PwC dan pengurusan tertinggi sebelum
dibentang di Kabinet.
Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah
untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah Haji - ini semakin baik. Sudah
tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin
bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika tahun 2013
dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bilion setelah ditolak segala
liabiliti dan penyesuaian.
Jika
apa yang dijangka ini tidak berlaku dan TH menjadi semakin teruk dan
dicerobohi pula secara politik, maka bolehlah dianjurkan bantahan ala
Himpunan Kesyukuran Penolakan Icerd sekali lagi atau boleh juga diubah
kerajaan yang ada melalui PRU ke-15 kelak.
DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
ialah presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid), pakar
kewangan Islam dan profesor adjunct Fakulti Perniagaan dan Perakaunan
Unisel. Rencana ini asalnya disiarkan pada akaun Facebook beliau.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
KATA MPl Ke hadapan warga kerja Lynas Malaysia yang dihormati,
Saya
membaca berita bahawa seramai 130 daripada kalangan kakitangan LAMP
telah datang ke parlimen untuk menggesa pihak kerajaan menyelamatkan
pekerjaan tuan-tuan dan puan-puan.
Saya memohon maaf kerana tidak
berada di situ untuk menerima memorandum tuan-tuan dan puan-puan kerana
saya kini berada di Katowice, Poland, menghadiri United Nation Climate
Change Conference of the Parties mewakili Malaysia dalam gerakan global
untuk menangani perubahan iklim dan kesannya.
Kalaulah saya tahu
lebih awal tuan-tuan dan puan-puan ingin datang dari Kuantan untuk
menyerahkan memorandum, saya akan meminta pegawai Kementerian berada di
parlimen untuk menerimanya.
Saya ingin menyatakan di sini, pihak kami telah pun menerima memorandum tersebut.
Saya
sangat mengerti perasaan susah hati jika hilang pekerjaan. Saya
dibesarkan dalam estet dan ibu saya hanyalah seorang kerani, maka saya
sangat memahami apa rasanya berpenat lelah mencari rezeki – nasi di
pinggan, bumbung untuk berteduh, baju di badan dan anak ke sekolah.
Berhubung keputusan Kementerian MESTECC minggu lepas, izinkan saya menjelaskan keputusan Kementerian:
1.
Terdapat dua residu utama terkumpul di Lynas Advanced Materials Plan
(LAMP) iaitu, Water Leached Purification Residue (WLP) sebanyak 451,564
tan metrik dan Neutralization Underflow Residue (NUF) sebanyak 1.113
juta tan metrik. (Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan biasa melihat
“bukit-bukit” residu ini di LAMP.)
2. Sehingga kini, tiada
penyelesaian untuk residu terkumpul yang disimpan di tapak penstoran
sementara dengan kaedah landfill terbuka.
3. Risiko berbahaya
terhadap masyarakat sekeliling dan alam sekitar bertambah dengan
peningkatan residu terkumpul kerana ia terdedah kepada ancaman bencana
alam seperti banjir besar.
4. Majikan anda telah dua kali
menyatakan komitmennya untuk mengeluarkan residu dari Malaysia. Jika
anda belum pernah melihat surat ini, saya lampirkan bersama surat aku
janji yang ditulis oleh Lynas Corporation Ltd, Australia (Lynas
Australia) dan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) bertarikh 23
Februari 2012 dan 6 Mac 2012. Memandangkan risiko berbahaya yang
meningkat dengan peningkatan residu terkumpul, tindakan ini adalah satu
keperluan.
5. Apakah kos kepada Lynas untuk membawa keluar residu
mereka daripada Malaysia? Menurut laporan Australian Financial Review
pada minggu lepas, kos kepada Lynas untuk membawa keluar residu ini
hanya AUD14 juta kerana sebahagian besar kos ini AUD46 juta boleh
dituntut melalui insurans mereka. Berbanding dengan untung syarikat
tersebut bagi tahun 2017-2018 yang mencecah AUD129 juta, ini hanya 10
peratus daripada untung Lynas. Jika kiraan tersebut tepat, ini bermakna
10 peratus daripada untung Lynas daripada operasi setahun yang lepas
sudah mampu untuk menghantar balik sisa yang terkumpul dalam enam tahun
operasi.
Laporan penuh Australian Financial Review boleh dibaca di sini.
6.
Lebih-lebih lagi, selepas pengumuman prasyarat dibuat oleh kementerian
ini pada minggu lepas, broker saham seperti UBS dan CLSA masih
menegaskan syor “beli” untuk saham Lynas. Broker UBS pula telah
meletakkan sasaran harga saham LYNAS setinggi AUD3.10, iaitu hampir dua
kali ganda daripada harga saham mereka sebelum pengumuman dibuat.
7.
Perkara (5) & (6) menunjukkan pihak pengurusan Lynas Malaysia
seolah-olah mementaskan sandiwara dengan pelbagai advertorial atau iklan
berbayar di akhbar serta sidang media untuk memberikan gambaran negatif
terhadap Kementerian tetapi hakikatnya pihak pengurusan Lynas Malaysia
hanyalah menjaga keuntungan syarikat dengan tidak memenuhi komitmen
mereka. Sebaliknya, sebagai seorang Menteri, saya bertanggungjawab
menjaga kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
8.
Sesungguhnya saya tidak meminta lebih dari apa yang telah dijanjikan
oleh majikan tuan-tuan dan puan-puan pada 2012. Maka menjadi harapan
saya Lynas Malaysia menunaikan janji mereka secara ikhlas dan
bersungguh-sungguh dengan memulakan proses penghantaran keluar residu
WLP dari Malaysia.
9.
Saya juga berharap tindakan ini memberi mesej kepada anak cucu dan
generasi akan datang bahawa generasi ini telah melakukan yang terbaik
untuk memelihara tanah pusaka bertuah ini.
YEO BEE YIN ialah menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Mohamad Hassan menjelaskan bahawa pertemuan beliau bersama empat
pemimpin Umno lain dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bukan bagi
membincangkan keputusan untuk meninggalkan parti itu.
Sebaliknya,
kata timbalan presiden Umno itu, mereka merayu kepada Mahathir supaya
tidak membubarkan parti berkenaan, yang pernah dipimpinnya selama lebih
dua dekad.
"Ia hanya kunjungan hormat," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
"Tun M (Mahathir) kata Umno akan dibubarkan. Kami merayu kepadanya supaya tidak berbuat demikian," katanya.
Mohamad menyifatkan perjumpaan itu diadakan dalam suasana yang mesra.
"Tun menerima kami. Saya pernah bekerja di bawahnya. Belanja kami sate dan macam-macam.
"Dunia
ini bukan sahaja mengenai politik. Ia mengenai hubungan. Kami membuat
kunjungan hormat dan pada masa sama kami kata, 'tolong jangan bubarkan
Umno'. Dia janji tidak akan berbuat demikian," katanya.
Dalam hantaran di Facebook sebelum ini, wartawan veteran A Kadir Jasin mengesahkan gambar tular pertemuan perdana menteri dengan pemimpin Umno itu sebagai tulen dan berlangsung pada Oktober.
Selain Mohamad, antara yang turut hadir dalam pertemuan itu ialah
bekas menteri wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas menteri kpdnkk
Hamzah Zainuddin, bekas menteri undang-undang Shahidan Kassim dan bekas
menteri pembangunan luar bandar Noh Omar.