Kepulangan Pelajar Biadap Ditunggu
Jabatan Imigresen sedang mengesan rakyat Malaysia di luar negara 
termasuk pelajar yang cuba menggulingkan kerajaan dan menjatuhkan imej 
negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad, berkata pihaknya tidak 
teragak-agak bertindak tegas termasuk melarang mereka daripada memasuki 
negara ini bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun mengikut Seksyen 8 
Akta Imigresen 1959/1963. 
“Rakyat Malaysia yang melanggar undang-undang dan memalukan negara boleh
 disenarai hitam, pasport mereka boleh dibatalkan antara tiga hingga 
lima tahun. Kami sedang menunggu laporan Wisma Putra berhubung rakyat 
kita yang melakukan perbuatan sedemikian di luar negara. 
“Bagi rakyat asing di Malaysia yang melakukan tindakan menyalahi 
undang-undang dengan menyertai sebarang aktiviti menjatuhkan imej negara
 ini pula, mereka boleh diusir ke negara asal selain disenarai hitam 
sehingga lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada BH ketika mengulas tindakan segelintir 
pelajar Malaysia di luar negara yang melakukan demonstrasi, mempamer 
bendera Malaysia secara terbalik dan menyiarkan kenyataan berbaur 
hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi laman sosial.
Alias berkata, keghairahan sesetengah rakyat Malaysia bertindak 
sedemikian mungkin kerana dipengaruhi pihak tertentu yang cuba mendapat 
perhatian dengan mendakwa berlaku penipuan dan penyelewengan ketika 
proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.
Akhbar baru-baru ini melaporkan sekumpulan rakyat Malaysia yang menetap 
di London, didakwa memburukkan nama negara selepas mengadakan 
demonstrasi jalanan membantah keputusan PRU-13 di beberapa lokasi di 
bandar raya berkenaan.
 

 

 
 

No comments:
Post a Comment