KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pakatan Pembangkang sepatutnya mengambil
peluang dalam tempoh 21 hari yang diperuntukkan undang-undang bagi
mana-mana parti politik untuk memfailkan petisyen bagi mencabar
keputusan Pilihanraya Umum (PRU) Ke 13 bagi yang diwartakan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR).
Menurut penganalisa politik, Prof Madya Dr. Shamsul Adabi Mamat dari
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), inilah masanya untuk Pakatan
Pembangkang membuktikan segala dakwaan dan bantahan mereka terhadap
keputusan PRU 13 dengan mengikut saluran yang betul.
“Kita tahu bahawa begitu banyak isu yang dimainkan oleh pembangkang
di mana antara dakwaan mereka ialah tentang isu dakwat, isu blackout
yang berlaku ketika pengiraan undi, pengundi hantu dan juga penipuan
kertas undi.
“Undang-undang telah membenarkan mana-mana parti politik untuk
menyatakan bantahan mereka dalam masa 21 hari selepas pewartaan. Pakatan
Pembangkang sepatutnya mengemukakan apa saja bukti bagi membenarkan
dakwaan mereka berlakunya penyelewengan ketika hari mengundi,” ujarnya
kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Dengan itu menurut beliau, tidak perlulah lagi pembangkang
mengadakan siri-siri demonstrasi yang melanggar undang-undang seperti
yang berlaku hari ini.
“ Inilah sistem perundangan yang sepatutnya pembangkang patuhi. Bagi
saya, inilah yang sepatutnya dilakukan oleh pembangkang dan bukannya
dengan mengajak rakyat ke jalan raya,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sekiranya Pakatan Pembangkang gagal untuk
mengemukakan bukti atau pun sengaja tidak mahu mengikut saluran
undang-undang yang sedia ada, ini membuktikan bahawa pembangkang
sememangnya tidak berminat untuk mengikut saluran undang-undang negara.
“Sekiranya kepimpinan pembangkang tidak memberikan sebarang bukti
bagi bantahan mereka dalam tempoh ini, maka ia menyerlahkan lagi niat
sebenar kepimpinan pakatan yang lebih berminat untuk menghuru harakan
keadaan dengan demonstrasi jalanan.
“Ia juga secara tidak langsung memperlihatkan bahawa pembangkang
sebenarnya memang berniat untuk mengajak rakyat ke jalan raya dan
melanggar undang-undang, demi kepentingan politik mereka dengan
membelakangkan undang-undang negara,” ujarnya. -MediaUMNO

No comments:
Post a Comment