"Perang GERILA": Apa Kata Tun M...?
Pada tahun 1990, ketika saya bertemu kali pertama dengan Nelson 
Mandela selepas pembebasannya, perkara pertama yang beliau tanyakan 
kepada saya adalah bagaimana Malaysia mengalahkan gerila (komunis).
Menurutnya beliau telah dilatih di Yugoslavia dan Libya, dan beliau 
diberitahu bahawa gerila tidak boleh dikalahkan. Jadi bagaimana Malaysia
 mengalahkan gerila?
Saya menjelaskan bahawa dua perkara yang membantu dalam mengalahkan gerila di Malaysia.
Pertama ialah keputusan untuk memindahkan semua penduduk yang 
tinggal di pinggir hutan dan meletakkan mereka di kampung-kampung baru 
yang dikawal. Kedua adalah kempen untuk memenangi hati dan minda rakyat.
Mungkin Jamalul Kiram tidak tahu apa-apa mengenai bagaimana Malaysia
 menguruskan gerila. Seruan beliau untuk melaksanakan perang gerila di 
Malaysia berdasarkan kejahilan.
Ya, di Filipina, Moro menjalankan perang gerila selama beberapa 
dekad. Namun ia tidak menyebabkan mereka mencapai kemerdekaan. Akhirnya,
 MILF memutuskan untuk menerima pakai cara rundingan dan autonomi untuk 
wilayah tersebut.
Malaysia mengikuti perjuangan Moro sangat rapat dan sedar bahawa 
perang gerila boleh terjadi. Ia boleh menyebabkan Malaysia kurang stabil
 dan selamat. Tetapi keadaan hari ini adalah memihak kepada Malaysia 
untuk mengalahkan sebarang cubaan kepada perang gerila oleh Kiram dan 
Suluk.
Pertamanya hati dan minda rakyat sudah bersama kerajaan. Benar 
terdapat beberapa pihak termasuk pemimpin-pemimpin pembangkang yang 
tidak dengan kerajaan tetapi mereka tidak mampu untuk mempengaruhi minda
 dan hati majoriti rakyat.
Kita tahu bagaimana mahu menempatkan semula orang-orang yang 
terdedah kepada keganasan atau dijadikan sandaran untuk menyokong 
penceroboh dan kita mempunyai wang untuk melakukannya.
Dan yang paling penting adalah kita mempunyai pasukan keselamatan 
untuk melawan sebarang tindakan gerila yang mungkin dipujuk dan 
membahayakan nyawa mereka untuk perjuangan yang sia-sia.
Askar dan polis yang terlibat memerangi pengganas di Lahad Datu amat
 terlatih dan dilengkapi dengan baik. Pasukan keselamatan Malaysia telah
 mewarisi pengetahuan dan kemahiran dalam peperangan anti-gerila. 
Semangat pasukan keselamatan Malaysia adalah sangat baik dan cubaan 
untuk menakut-nakutkan mereka dengan merosakkan jasad rakan-rakan mereka
 tidak berkesan. Ia bahkan menyebabkan pasukan keselamatan kita sangat 
marah dan lebih bersemangat untuk mengalahkan musuh. Ia hampir menjadi 
perang peribadi untuk mereka.
Rakyat Malaysia mesti berterima kasih kepada 'anak-anak lelaki kita'
 yang sanggup mati untuk negara. Ia bukan satu sandiwara. Ia adalah 
benar. Kematian dan kecederaan sebenar. Jika kita merasa selamat dan 
terjamin, jika kita merasa stabil dan bebas daripada ketakutan serangan 
gerila tersebut ia adalah kerana askar dan polis bersedia untuk mati 
mempertahankan kita.
Jika mereka tiada, apa yang berlaku di Filipina boleh berlaku di 
sini juga. Kami tidak akan tenteram untuk menjalani kehidupan harian 
tanpa kepastian mengenai keselamatan kita.
Keamanan dan kestabilan tidak berlaku begitu sahaja. Ada yang 
bekerja untuknya. Mereka bergantung kepada kesedaran kita dan sikap 
tidak mengambil mudah. Lihatlah sekeliling kita, lihatkan Timur Tengah 
atau Asia Selatan atau Amerika Latin. Lihat juga masalah ekonomi dan 
kewangan di Amerika dan Eropah.
Kemudian melihat semula ke dalam negara kita. Saya fikir terdapat 
banyak peluang untuk kita bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada 
mereka yang menjamin keamanan dan kestabilan.-
Terjemahan Agenda Daily
 

 

 
 

No comments:
Post a Comment