ULASAN Suatu ketika dulu kami beri ruang untuk Mahathir jadikan Malaysia negara berjaya.
 
 
ULASAN Saya merujuk entri terbaharu Tun Dr Mahathir dalam blog beliau, chedet.cc bertarikh 6 Disember 2016.
Saya kekal konsisten dengan pendirian tegas dan kenyataan saya 
sebelum ini mengenai dakwaan Mahathir berkaitan 700,000 warga asing di 
Johor yang kononnya akan diberi kad pengenalan (IC) untuk menjadi 
pengundi sebagai tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat
 untuk mengeliru serta menakut-nakutkan rakyat.
Untuk rekod, dakwaan Mahathir tersebut dibuat dalam satu siri ceramah
 anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pasir Gudang, Johor
 baru-baru ini.
Dakwaan melulu Mahathir tersebut bukan sahaja tidak logik dan 
berasas, malah sangat tersasar dari bersandarkan sebarang fakta dan 
mana-mana sumber yang sahih.
Pemilikan hartanah oleh kepentingan asing 
Bagi tempoh 2003 sehingga 30 November 2016, jumlah kelulusan 
permohonan kebenaran perolehan hartanah oleh kepentingan asing dalam 
rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Johor adalah sebanyak 29,218
 unit. Angka tersebut adalah bagi pemilikan hartanah jenis bertanah (landed property) dan strata.
Jumlah pemilikan asing itu hanyalah 2.01 peratus daripada jumlah 
keseluruhan hak milik hartanah di Johor, iaitu sebanyak 1,452,931 unit.
Sekiranya kita mengambil kira empat orang bagi setiap unit hartanah, 
berdasarkan anggaran Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), 
sekurang-kurangnya 116,872 orang sahaja yang mengisi unit-unit hartanah 
yang dimiliki oleh orang asing itu.
Dan kesemua angka ini sangat jauh dan ternyata meleset daripada angka 700,000 seperti didakwa Mahathir. 
Malah dalam entri terbaharunya, Mahathir menganggarkan Johor Bahru 
akan didiami oleh 1.5 juta warganegara asing. Jelas Mahathir tidak 
konsisten dengan angka yang digunakannya.
Percanggahan angka tersebut dengan sendirinya menjawab bahawa dakwaan
 Mahathir ternyata sangat tidak berasas dan dilakukan dengan niat jahat 
untuk mengelirukan rakyat.
Pemberian kerakyatan Malaysia
Mahathir yang pernah menjadi seorang perdana menteri sudah semestinya
 arif mengenai proses keluhuran undang-undang serta prosedur ketat 
berkaitan permohonan seseorang individu untuk mendapat kerakyatan 
sesebuah negara.
Proses memohon dan mendapatkan status warganegara Malaysia oleh orang
 asing adalah proses yang sukar, ketat dan memerlukan pertimbangan 
teliti kerajaan dalam pelbagai aspek.
Malaysia adalah negara yang sangat tegas dan sukar untuk memberikan 
kerakyatan kepada mana-mana warga asing. Malah ratusan ribu lagi mereka 
yang telah dilahirkan di Malaysia dan telah tinggal di negara ini begitu
 lama tetapi masih belum diberikan kerakyatan.
Kita juga tidak mempunyai dasar yang membolehkan sesiapa yang 
memiliki hartanah di dalam negara, untuk layak memohon kerakyatan 
Malaysia. Yang jelas, pemilikan hartanah di Malaysia tidak memberi 
sebarang keistimewaan dalam proses memohon status kewarganegaraan.
Mahathir perlu bersikap objektif dengan hakikat bahawa membuka 
peluang untuk pemilikan hartanah oleh warga asing di negara kita sama 
sekali berbeza dengan memberi kerakyatan Malaysia kepada mereka.
Jika sekalipun beliau mempunyai bukti sahih daripada sumber yang 
jelas bahawa terdapat sehingga 700,000 warga China akan diberikan 
kerakyatan Malaysia dalam masa terdekat, beliau boleh sahaja merujuk 
perkara tersebut kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini 
kerana Muhyiddin masih lagi seorang anggota parlimen dan boleh membawa 
usul tergempar mengenai perkara itu di parlimen.
Laporan negatif media Barat
Saya juga amat kesal dengan sanjungan tinggi dan sikap pilih bulu Mahathir terhadap segala laporan media barat.
Apabila Bloomberg melaporkan sesuatu yang negatif mengenai 
negara, Mahathir memilih untuk merujuk dan mempercayai laporan berkenaan
 tanpa usul periksa.
Sebagai seorang negarawan bagi Malaysia yang moden, beliau pasti 
ingat betapa agresif dan konsistennya media barat dalam memburuk dan 
memperkecil-kecilkan segala inisiatif pembangunan yang telah beliau 
perkenalkan.
Apakah Mahathir lupa tentang serangan konsisten dan sistematik media 
barat terhadap pembangunan besar-besaran Putrajaya dan Cyberjaya serta 
pembinaan Menara Berkembar Petronas Twin Tower? Semuanya digambarkan 
sebagai pembaziran wang rakyat.
Begitu juga sewaktu Malaysia mengambil keputusan untuk tidak menerima
 preskripsi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan sewaktu Mahathir 
menyingkirkan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, amatlah wajar untuk Mahathir, sebagai seorang yang sangat 
patriotik kepada tanah air, untuk mengambil pendirian dengan meminta 
penjelasan objektif daripada kerajaan Johor. Benarkah ada 60 projek yang
 boleh diduduki seramai 1.5 juta warganegara asing?
Malah, sekalipun terdapat sehingga 60 projek pembangunan hartanah di 
Johor Bahru seperti yang didakwa beliau, mana mungkin dapat diterima 
oleh akal yang ia akan dihuni oleh 1.5 juta warganegara asing. Jumlah 
kependudukan Johor Bahru sendiri pun hanyalah dalam lingkungan satu juta
 sahaja.
Dan jika mengikut perkiraan Mahathir itu, ia bermakna setiap satu 
daripada 60 projek hartanah tersebut harus memuatkan sekurang-kurangnya 
25,000 penghuni. Jumlah tersebut amat tidak masuk akal. Ini kerana, 
setiap projek hartanah yang ada lazimnya memuatkan hanya setakat 2,000 
hingga 2,500 penghuni sahaja.
Hakikat yang perlu diterima oleh Mahathir adalah media asing akan 
terus ragu dengan apa jua kemajuan yang terlihat di Johor dan Malaysia. 
Bagi mereka, Malaysia yang berjaya adalah di luar kelaziman.
Meneroka peluang pertumbuhan baharu 
Sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, Johor perlu terus 
meneroka serta membongkar peluang pertumbuhan baharu dalam pelbagai 
sektor, termasuklah sektor hartanah dan perumahan.
Ini bagi memastikan pertumbuhan pesat itu dapat disokong dengan 
pelbagai kemudahan, sekali gus memastikannya berlaku dengan terancang 
dan mapan.
Malah inilah juga yang telah dilakukan oleh Mahathir sewaktu memimpin
 negara suatu ketika dahulu. Mahathir melawat ke seluruh dunia, 
meyakinkan pelabur asing untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang
 dan projek.
Jadi apa yang kami lakukan di Johor adalah meneruskan formula pertumbuhan yang ditunjukkan oleh Mahathir sendiri.
Pada masa yang sama, dasar kemasukan pelaburan terus asing kita tidak
 pernah bersifat terpilih. Tidak ada ada negara yang menjadi keutamaan. 
Mana-mana pelaburan yang boleh menyumbang kepada pembangunan Malaysia 
amat dialu-alukan dan ini termasuk dari China. Saya ingin jelaskan 
mengapa pelaburan dari China sangat terlihat di Johor.
Pertama ialah kerana China adalah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia.
 Malah dalam sedikit masa lagi, ia akan menjadi kuasa ekonomi utama 
global.
Justeru, adalah munasabah melihat pelaburan China di Malaysia lebih 
terserlah. Pergilah ke mana jua, termasuk di Afrika dan Amerika Latin, 
pelaburan dari negara itulah yang telah menjadikan ekonomi benua-benua 
itu tumbuh dengan dinamik.
Kedua, China mempunyai kelas menengah seramai 250 juta orang. Ini 
adalah jumlah kelas menengah yang terbesar di dunia, malah hampir 
menyamai jumlah penduduk Amerika Syarikat.
Peningkatan secara mendadak semenjak 10 tahun lepas telah mewujudkan 
keinginan dan minat yang tinggi di kalangan rakyat negara Tembuk Besar 
itu untuk mempelbagaikan pelaburan mereka di luar negara.
Malah rakyatnya adalah pelabur dalam hartanah yang paling besar di 
Australia, Portugal, Paris, California, Dubai, Abu Dhabi, Singapura dan 
banyak lagi kota raya besar di dunia.
Ini adalah fenomena global dan adalah wajar untuk pelbagai usaha 
dilakukan, lebih-lebih oleh pihak swasta dalam menarik pelaburan dari 
China, khususnya ke Johor. Apatah lagi, Johor hanyalah bersebelahan 
dengan Singapura.
Adalah sangat tersasar untuk menyatakan hartanah di Johor hanya untuk
 pelabur dari China. Sedangkan semua pemaju yang beroperasi di Johor 
tidak menumpukan rakyat China semata-mata.
Strategi pemasaran mereka bersifat global termasuk termasuk menerusi 
pengiklanan stesen penyiaran paling berpengaruh dunia, CNN. Sasaran 
mereka pastinya turut mengambil kira potensi pelaburan dari pelbagai 
kewarganeraan termasuk Indonesia, India, Korea, Jepun dan Australia.
Pada saya, telahan Mahathir dalam isu ini, tidak ubah seperti kecaman
 tidak berasas yang sering dilakukan oleh DAP ke atas Johor. Semuanya 
kelihatan seakan-akan tidak senang untuk melihat kejayaan dan kemajuan 
yang sedang diusahakan oleh seluruh warga Johor.
Dasar ‘Malaysia My Second Home Program’
Malaysia juga memperkenalkan program Malaysia MySecond Home yang 
menggalakkan kedatangan warga asing untuk bercuti, bekerja atau menetap 
di sini.
Dasar itu turut menganjurkan pemilikan hartanah oleh warga asing 
mengikut kadar dan syarat-syarat ketat tertentu yang telah ditetap dan 
disemak dari semasa ke semasa.
Ia mahu menjadikan Malaysia lebih kosmopolitan dengan menawarkan 
kualiti kehidupan yang setanding dengan negara maju, tetapi dengan 
keunikan tersendiri.
Dasar tersebut diperkenalkan sejak era pentadbiran Mahathir sendiri dan kini diteruskan oleh pentadbiran semasa negara.
Apa yang berlaku di Johor adalah sebahagian dari realisasi dasar 
tersebut. Kita mahu menjadikan Johor Bahru destinasi kediaman dengan 
citra moden bagi masyarakat global.
Bukan destinasi untuk mendapat kewarganegaraan ataupun kelayakan untuk mengundi!
Lihat sahaja ratusan ribu pemilik hartanah di Abu Dhabi, Dubai, Doha,
 Singapura, Bangkok, Melbourne, Sydney. Mereka hadir dengan memberi 
nilai tambah kepada semua kota-kota besar tersebut.
Mereka menjadikan kota-kota itu maju dan berdaya saing, bukan sahaja 
melalui pelaburan, tetapi juga melalui kehadiran, pengetahuan, gaya 
hidup, keperluan pendidikan dan kesihatan mereka.
Johor Bahru mesti menjadi sebahagian dari cerita kejayaan global. Dan
 ia tidak akan sekali-kali digagalkan oleh rakus permainan politik 
Mahathir dan sekutunya.
Untuk Mahathir, berilah ruang untuk Johor menjayakan cita-citanya 
menjadikan selatan tanah air ini moden, sejahtera dan maju. Seperti 
suatu ketika dahulu, kami memberi ruang untuk Mahathir menjadikan 
Malaysia sebuah negara yang berjaya.
DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN menteri besar Johor.
No comments:
Post a Comment