- 
                                                         
- Tan Sri Muhammad Ali Hashim 
                                                      
 
PUTRAJAYA - Bekas Presiden Johor Corp (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali 
Hashim mengesahkan telah mengembalikan tiga darjah kebesaran negeri 
Johor, semalam.
 
 Menurutnya, tindakan itu diambil ekoran tidak dapat menerima tuduhan 
yang dibuat oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul 
Rahim Ramli, 5 Disember lalu.
 
 Sebelum ini, Abdul Rahim mendakwa artikel Menuntut Hak, Menebus Masa 
Silam tulisan Muhammad Ali yang disiarkan Sinar Harian, dikhuatiri boleh
 menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negeri Johor.
 
 "Saya sangat memandang berat dan serius tuduhan terhadap diri saya yang mencemar nama baik dan reputasi saya.
 
 "Saya mengesahkan bahawa saya telah mengembalikan semua darjah terbabit
 pada 27 Disember 2013 (semalam)," katanya kepada Sinar Harian Online, 
hari ini.
 
 Darjah terbabit adalah Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), 
Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia Mahkota Johor (SMJ).
 
 Menerusi surat bertarikh 18 Disember lalu kepada Abdul Rahim, Muhammad 
Ali yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah 
memberi penjelasan mengenai penulisan artikel itu.
 
 "Saya telah memberi penjelasan mengenai penulisan artikel terbabit, 
juga dengan tegas menolak dakwaan atau tanggapan bahawa sajak itu 
mengandungi apa-apa motif seperti yang digambarkan.
 
 "Melalui kenyataan media ini, saya minta masyarakat umum khasnya rakyat
 negeri Johor membaca artikel itu dan menilai sendiri sama ada penulisan
 itu mengandungi unsur menderhaka kepada raja atau tindakan tidak 
bertanggungjawab atau bertentangan dengan Rukun Negara," katanya.
 
 Beliau memuatkan sajak tulisan anak bongsunya, allahyarham Khaled Ali 
yang antara lain menyebut 'Sultan yang adil adalah Sultan yang wajib 
disembah, Sultan yang zalim adalah Sultan yang wajib disanggah'. 
SH
Baca artikel terdahulu Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Menuntut hak, menebus masa silam
                                    
 Muhammad Ali Hashim 
                                  2 Disember 2013 
 
KETIKA artikel minggu lalu di bawah tajuk “Naungan 
khalifah, sultan dan imam” diterbitkan pada Isnin 25 November lalu,  
saya dan isteri telah pun kehilangan Khaled bin Muhammad Ali, anak 
bongsu kami.
 
 Beliau kembali ke rahmatullah sebelum subuh 23 November, pada umur 20 tahun. Innalillahi wainna ialaihi rajiuun.
 
 Doa saya, ibunya, kakak dan abang-abangnya serta seluruh keluarga: 
Semoga kematian Khaled diampuni ALLAH Subhanahu Wa Taala. Semoga roh 
Khaled diletakkan dalam kalangan orang soleh, siddiqin dan syuhada, 
amiin ya Rabbul alamin.
 
 Buat Khaled: Sebanyak mana sekali pun air mata mengalir, ia tidak akan 
selama-lamanya mengeringkan, malah tidak setitis pun mengurangkan lautan
 sedih dan pilu serta cinta rindu kasih sayang di lubuk kalbu ayah dan 
mama.
 
 Juga, jelas terbukti, kasih sayang dan keprihatinan yang ayah dan mama 
berikan rupa-rupanya tidak dapat mengisi semua kekosongan dan tidak 
sampai kepada apa yang Khaled berhak mendapatkan.
 
 Semoga ALLAH SWT mengampuni ayah dan mama atas segala kelemahan, kekurangan, kealpaan, ketidakpekaan dan ketidakprihatinan.
 
 Tiada kata yang dapat saya lafazkan untuk menzahirkan rasa hati, bukan 
sahaja bagi pihak diri saya sebagai ayah, juga bagi pihak semua yang 
mengasihi dan mengenali beliau. Biarlah Khaled sendiri yang melahirkan 
rasa hatinya menerusi kolum Khalifah Bisnes kali ini.
 
 Justeru, berikut saya paparkan sajak beliau tanpa disentuh atau 
diperbetul sekalipun terdapat kesilapan ejaan dan istilah. Sajak ini 
terletak paling atas daripada sepuluh sajak beliau tulis yang saya 
dapati daripada laptop beliau.
 Beliau tidak berikan sebarang tajuk kepada sajak ke sepuluhnya ini, 
seolah-olah penulisannya belum lagi berakhir dan menanti diteruskan.
 
 Jika saya diizinkan memilih tajuk untuknya, mungkin paling sesuai ialah petikan daripada salah satu ungkapan di dalamnya:
 
“Menuntut hak dan menebus masa silam”
 
....this heart aches at your very thought,
 it grows heavier as my memories taunt me,
 I can hold back these tears no longer,
 many years have passed and I am now a man,
 yet I still yearn for you, and that old house on the hill.
 rindu dalam hatiku seperti ombak yang memukul pantai,
 tidak akan henti sehingga akhir zaman,
 sehingga daku dapat kembali ke
 tanah asal, jiwaku akan bergelora ingin
 kembali, walaupun ke tujuh
 lautan ku merantau, Tanjung Puteri
 tetap akan di kalbu.
 you are the eternal jewel of the south,
 the cradle of our civilisation, the custodian of our people,
 a sanctuary of hope, an abode of dignity,
 they basked in the light of your imperial glory,
 and trembled at the might of your warriors.
 hari berganti hari tahun berganti tahun,
 namun malamku masih menjadi medan air mata,
 jangan berani kau persoal cintaku, takkan dapat kau bayang rinduku,
 anggaplah pantun ini sebagai janji,
 akan datang suatu masa yang akan ku kembali,
 menuntut hak dan menebus masa silam.
 their blood coarses through my veins, their prayers guide my heart,
 this bloodline is an oath of duty, a life of service,
 sultan yang adil adalah sultan yang wajar disembah,
 sultan yang zalim adalah sultan yang wajib disanggah...
Tan Sri Muhammad Ali Hashim
 Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
 ali.bizjihad@yahoo.com
 29 November. 2013.
 
 
No comments:
Post a Comment