Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom  hari ini menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang  zakat adalah tidak benar.
Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau  dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim  bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan  (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran  guaman.
"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000  diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah,  kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita  pakai duit ini lah," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang  zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama  Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua  Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf  itu.
Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai  rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan  kejam, Jamil  Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik  terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah  faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.
Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi  bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.
"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap  ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah  dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya  sampai di akhirat," katanya.
Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan  Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat  terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.
Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata pihak berkenaan boleh  membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan  menjelaskan rumahnya itu dibeli sejak tahun 1994 sebelum beliau dilantik  sebagai menteri dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini.
"Biasalah kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu. Saya dulu  mejar jeneral, dua bintang dalam pegawai kerajaan...ada pencen penuh dan  tak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya.
Beliau juga berkata penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak memahami keadaan sebenar.









No comments:
Post a Comment